AM

Lebih 2,000 Metrik Tan Harumanis Di Perlis Disasarkan Berbuah Musim 2024

26/02/2024 06:15 PM

KANGAR, 26 Feb (Bernama) -- Jabatan Pertanian Perlis menyasarkan lebih 2,000 metrik tan buah mangga Harumanis pada musim ini akan dituai setelah lapan minggu dibalut, yang dijangkakan bermula seawal minggu ketiga Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perlis Razali Saad berkata sasaran itu berdasarkan potensi hasil dan keluasan berbunga menerusi keluasan berhasil 1,611.59 hektar setakat Januari lepas, daripada keseluruhan penanaman Harumanis seluas 1,745.79 hektar di Perlis.

"Tahun ini Harumanis dijangka bertambah mengikut anggaran bunga yang kita perolehi sekarang, kalau bulan Mac nanti masih ada banyak bunga, mungkin jumlahnya akan bertambah lagi. Bilangan penanam juga bertambah yang keseluruhannya 2,693 orang dengan pertambahan empat ladang berbanding tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program tinjauan mesra beliau sempena Kempen  Peningkatan Kualiti Mangga Harumanis Perlis di sini hari ini.

Razali berkata pihak Jabatan Pertanian negeri itu akan membantu dalam usaha memastikan buah yang akan dituai itu berada pada tahap matang bagi mengelakkan isu buah masam apabila masak melalui kursus dan khidmat nasihat.

“Selain itu, pekebun yang menanam Harumanis secara persendirian di perkarangan rumah disaran membalut Harumanis dalam tempoh lapan minggu supaya kualiti buah terjamin. Terdapat antara 10 hingga 15 peratus pekebun Harumanis menanam di perkarangan rumah mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihak Jabatan Pertanian Perlis akan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin bagi mengawal serangga perosak baharu yang dikenal pasti menyerang tanaman Harumanis di beberapa lokasi di negeri itu.

“Pihak mereka (Jabatan Pertanian) telah mengenal pasti serangga perosak baharu yang mampu menjejaskan kualiti Harumanis di beberapa lokasi sekitar di Perlis. Kita masih mengkaji serangga perosak itu, kerana kita telah mendapat tiga kes iaitu dua kes di Bintong (Kangar) dan satu kes di Titi Tinggi (dekat Padang Besar),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan