AM

Lebih Rm2 Juta Untuk Elaun Jpkkp Perlis Tahun Ini

26/02/2024 09:28 PM

KANGAR, 26 Feb (Bernama) -- Keperluan elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) untuk Perlis bagi tempoh Januari hingga Disember tahun ini adalah sebanyak RM2,460,600.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan itu akan disalurkan kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam masa terdekat selaku agensi pembayar.

"Kadar elaun yang telah ditetapkan untuk pengerusi ialah sebanyak RM900 sebulan dan RM300 bagi setiausaha, manakala elaun pengendalian mesyuarat (EPM) sebanyak RM100 terhad kepada enam kali mesyuarat setahun.

 "Bagi elaun kehadiran mesyuarat (EKM) pula adalah sebanyak RM50 terhad kepada enam kali mesyuarat setahun," menurut kenyataan itu sempena majlis penyerahan watikah pelantikan JPKKP Perlis yang berlangsung di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu seramai 343 pengerusi dan 339 setiausaha menerima watikah pelantikan itu melalui lantikan fasa pertama berkuat kuasa 1 Jan 2024 hingga 31 Dis 2025 manakala pelantikan baki 44 pengerusi dan 47 setiausaha lagi akan dibuat pada fasa kedua.

“Pelantikan JPKKP pada kali ini adalah gabungan daripada kepimpinan parti komponen Kerajaan Perpaduan di peringkat kampung masing-masing.

“Adalah diharapkan mereka dapat berfungsi sebagai mata dan telinga bagi pihak kerajaan yang memerintah di samping memenuhi aspirasi dan agenda Desa MADANI sebagai kesinambungan gagasan Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan