JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Rayuan Perintah Kes Salah Guna Kedudukan Muhyiddin Dikembalikan Ke Mahkamah Sesyen

28/02/2024 06:17 PM

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan kes salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta untuk Parti Bersatu berkaitan Projek Jana Wibawa yang membabitkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara dalam membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwa raya selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Presiden Bersatu itu daripada empat pertuduhan berkenaan pada 15 Ogos tahun lepas.

Dua lagi hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M Komathy Suppiah.

Pada 15 Ogos tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pagoh itu daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Bersatu berkaitan Projek Jana Wibawa selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada hari yang sama.

Hakim Hadhariah dalam penghakimannya berkata hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila memutuskan bahawa empat pertuduhan itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan yang diketahui oleh undang-undang.

“Mengenai isu yang dibangkitkan oleh perayu (pendakwaan) bahawa pertuduhan tidak cacat, kami menerima penghujahan mereka. Pada pandangan kami, empat pertuduhan adalah ketara dan jelas.

“Oleh itu tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut tentang bagaimana kesalahan itu dilakukan.

“Justeru, kami membenarkan rayuan bagi mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi. Kes ini dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Hakim berkata Bersatu merupakan sebuah pertubuhan politik di bawah takrifan persatuan mengikut Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Katanya perayu berhujah pertubuhan politik itu termasuk dalam definisi organisasi, yang berada di bawah Seksyen yang sama.

“Kami setuju dengan hujah ini. Kami dapati tiada merit dalam hujah responden (Muhyiddin) bahawa oleh kerana pertubuhan itu tidak disebut dalam Seksyen berkenaan, oleh itu ia tidak boleh dimasukkan dalam definisi persatuan,” katanya.

Beliau berkata pada pandangan mereka, maksud biasa organisasi ialah satu persatuan yang dibentuk bagi tujuan tertentu.

“Oleh kerana sebuah persatuan itu merupakan satu kumpulan yang ditubuhkan bagi tujuan tertentu, ia termasuk di bawah definisi sebuah organisasi,” katanya.

Hakim Hadhariah yang bertanyakan kepada kedua-dua pihak mengenai tarikh sebutan kes itu kemudian dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah ditetapkan pada 4 Mac ini.

Prosiding hari ini turut dihadiri, TPR Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan TPR Ahmad Akram Gharib manakala Muhyiddin diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Amer Hamzah Arshad, Rosli Dahlan, dan Chetan Jethwani.

Muhyiddin, 76, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bekas perdana menteri itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Sementara itu, Hisyam ketika ditemui pemberita berkata beliau menerima keputusan hari ini dan akan mempertimbangkan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu.

“Jika pihak kami ingin memfailkan rayuan, ia akan dibuat (dalam) tempoh 14 hari. Pihak kami akan hadir di Mahkamah Sesyen pada 4 Mac ini untuk tindakan susulan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan