LANGKAWI, 28 Feb (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan lebih banyak syarikat penerbangan, termasuk syarikat penerbangan baharu dari Asia Utara dan Eropah meneroka pasaran industri penerbangan Malaysia di antara suku keempat 2024 dan suku pertama tahun depan.
Pengurus Besar Kanannya Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata beberapa syarikat penerbangan sama ada syarikat penerbangan baharu atau syarikat penerbangan sedia ada menunjukkan minat memulakan laluan baharu ke Malaysia.
"Kami juga sedang berbincang dengan mereka mengenai operasi di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Langkawi, jadi ramai daripada mereka telah menunjukkan minat sama ada untuk memulakan semula laluan atau memasuki destinasi baharu," katanya kepada media di Routes Asia 2024 hari ini.
Megat berkata bagaimanapun semuanya bergantung kepada rundingan dengan syarikat penerbangan berkenaan mengenai insentif dan cadangan yang ditawarkan oleh MAHB.
"Biasanya, di bahagian lapangan terbang, kami boleh membantu dengan kos operasi, memberikan sedikit pengecualian dari segi bayaran pendaratan, dan membantu dengan perbelanjaan pemasaran untuk mempromosikan destinasi," katanya.
Beliau berkata MAHB bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia untuk mengemukakan beberapa cadangan bagi perbelanjaan pemasaran dan menyelaras dengan pengendali daratan untuk meneroka kemungkinan insentif seperti jumlah diskaun.
Ketika ditanya mengenai jumlah syarikat penerbangan yang disasarkan, beliau berkata pengendali lapangan terbang menyasarkan hampir 70 hingga 80 syarikat penerbangan.
Dari segi persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau berkata antara inisiatif yang sedang dijalankan ialah menggantikan Aerotrain dan naik taraf sistem pengendalian bagasi.
“Dari segi peruncitan, kami mempunyai jenama baharu yang masuk, selain dari kedai runcit sedia ada seperti Jamie Oliver, Taco Bell dan Kitchen by Open House, dan (kesemua inisiatif) akan dipertingkatkan menjelang 2026,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial