EKONOMI

Huawei Meterai Mou Dengan Celcomdigi, Cumy Untuk Inisiatif Perniagaan Digital Dipacu 5g

28/02/2024 07:59 PM

Daripada S. Ratcharathan

BARCELONA (Sepanyol), 28 Feb (Bernama) -- Huawei Technologies (M) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan CelcomDigi Bhd dan China Unicom Operations (M) Sdn Bhd (CUMY) untuk memenuhi keperluan pendigitalan perniagaan Malaysia dengan penyelesaian 5GtoB digital pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun berkata dengan kepakaran global Huawei dalam pelaksanaan penyelesaian 5G yang terkini, penyedia global infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) akan membawa kepada perkongsian pandangan dalam memberikan pengalaman dan pendigitalan untuk senario yang berbeza.

“Kami akan turut membantu CelcomDigi dengan 5G untuk meningkatkan keupayaan aplikasi dan memperkenalkan kepada rakan ekosistem yang berkaitan. 

“Kami akan memanfaatkan pengalaman kami dalam penyelesaian transformasi digital, yang telah mewujudkan nilai baharu untuk pelanggan perniagaan,” katanya selepas majlis pemeteraian itu di Pavilion Malaysia bersempena Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2024 di Fira Gran Via di sini.

Melalui kerjasama itu, Huawei Malaysia akan memanfaatkan produk dan penyelesaian 5G yang terkini serta platform digital sedia ada untuk meninjau peluang projek dengan kedua-dua rakan kongsi itu.

Sementara itu, CelcomDigi akan memanfaatkan ekosistem China Unicom sedia ada untuk syarikat yang berpangkalan di China dan Malaysia serta menyediakan perkhidmatan kesalinghubungan rangkaian persendirian melalui penyepaduan penyelesaian CelcomDigi dan Huawei dalam akses rangkaian 5G, rangkaian teras 5G (5GC) dan Multi-Access Edge Computing (MEC).

CUMY akan memberi tumpuan kepada pengurusan perhubungan antara perniagaan China dan CelcomDigi, serta berfungsi sebagai penyepadu sistem yang bertanggungjawab untuk penyepaduan, operasi, perkhidmatan dan penyelenggaraan projek.

MoU tiga pihak itu dijangka meningkatkan lagi perjanjian kerjasama sedia ada untuk memacu hubungan ekonomi dengan China, susulan komitmen China pada 2023 untuk melabur RM170 bilion di Malaysia dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi berkata kerjasama itu membuka kemungkinan baharu untuk perniagaan mendapat akses yang lebih cepat kepada penyelesaian 5G bertaraf dunia yang inovatif berikutan matlamat syarikat ialah membantu lebih banyak perniagaan dengan transformasi digital mereka dan memanfaatkan potensi sebenar perniagaan mereka dengan operasi yang cekap dan mampan.

“Kami komited untuk mempercepatkan penggunaan penyelesaian 5G dalam industri, membolehkan perniagaan kekal berdaya saing dan memberikan manfaat yang besar untuk memacu ekonomi digital,” katanya.

Pengurus Besar CUMY Li Zehui percaya bahawa bersama rakan kongsi, syarikat akan dapat memainkan peranan penting dalam membawakan pembangunan perindustrian ke Malaysia berikutan China Unicom telah terlibat secara aktif dalam proses transformasi ICT dalam revolusi industri digital ini serta mempunyai pengalaman yang luas dan kes rujukan yang berjaya di China dan seluruh dunia.

MoU itu, ditandatangani oleh Sun, Idham dan Li, disaksikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi Lembaga Pengarah CelcomDigi Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan