AM

Enakmen Ordinan Jenayah Syariah Di Perak Masih Sah - Saarani

29/02/2024 04:36 PM

IPOH, 29 Feb (Bernama) -- Enakmen Ordinan Jenayah Syariah di Perak masih sah dan berperlembagaan kecuali ia dicabar dan diisytiharkan sebagai tidak sah, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Persekutuan berkait isu polemik Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sama sekali tidak menjejaskan Enakmen Ordinan Jenayah Syariah di negeri lain.

"Ketua Hakim Negara telah menegaskan bahawa keputusan mahkamah berhubung perkara berkenaan ialah isu Perlembagaan dan tiada kena-mengena dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara ini," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang pindaan terhadap undang-undang syariah termasuk Enakmen Jenayah Syariah Negeri perlulah mendapat perkenan daripada Sultan Perak terlebih dahulu.

Menurut Shaarani, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memartabatkan kehakiman dan perundangan syariah secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak dan pihak berkepentingan.

Saarani berkata pada masa ini, terdapat sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab menjalankan fungsi semakan, menderaf atau menambah baik undang-undang syariah di peringkat negeri iaitu Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Syariah di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Beliau berkata jawatankuasa itu dipengerusikan secara bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Perak dan Penasihat Undang-undang Negeri Perak serta dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang dan hukum syarak. 

"Ini termasuklah Mufti Negeri, Ketua Hakim Syarie Negeri, ahli akademik dan pengamal undang-undang yang telah dilantik," katanya.

Selain itu, beliau berkata bagi memastikan peruntukan undang-undang dapat dilaksanakan dengan baik dari aspek substantif dan prosedural, agensi-agensi agama yang berkaitan seperti Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Mahkamah Syariah Negeri, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sentiasa mengadakan mesyuarat penyelarasan secara berkala.

Dalam pada itu, Saarani berkata jumlah keseluruhan Pegawai dan Penolong Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) tetap di Perak adalah sebanyak 60 orang yang terdiri daripada enam pegawai dan 54 anggota.

Beliau berkata pelaksanaan tugas penguatkuasaan dibantu oleh anggota penguat kuasa agama sukarela berjumlah 101 orang, manakala seorang hingga empat anggota penguat kuasa agama ditempatkan di setiap daerah bergantung kepada jumlah kepadatan penduduk.

Sementara itu, Saarani menjelaskan pihaknya menarik semula kemudahan agihan kotak makanan melalui Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menyerahkan semula kepada Yayasan Perak untuk diagihkan melalui badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik.

Keputusan itu katanya, dibuat susulan beberapa Pusat Khidmat ADUN pembangkang dan kerajaan yang menggunakan pelekat sendiri seolah-olah kotak makanan itu datangnya dari pusat khidmat berkenaan yang merupakan satu kesalahan.

"Yayasan Perak akan mengeluarkan senarai NGO yang terbabit dalam membuat agihan bagi memudahkan orang ramai mengenali mereka," katanya.

Beliau berkata Yayasan Perak hendaklah memastikan semua NGO yang terlibat menyampaikan kotak makanan dengan amanah dan bertanggungjawab, namun kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menarik balik tauliah yang diberikan kepada NGO berkenaan sekiranya terbukti melanggar prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Persidangan DUN Perak yang berlangsung hanya kira-kira tiga setengah jam hari ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan