EKONOMI

Laman Web Baharu Mpoc Salur Maklumat Komprehensif Industri Sawit Malaysia

29/02/2024 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) -- Laman web baharu Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang dilancarkan hari ini akan menyediakan pengalaman digital yang dipertingkatkan dan kebolehcapaian kepada sumber dan maklumat dalam industri minyak sawit Malaysia.

Ketua pegawai Eksekutifnya Belvinder Sron berkata laman web baharu itu adalah peristiwa penting dalam usaha berterusan MPOC mengukuhkan komunikasi, kerjasama dan perkongsian pengetahuan dalam industri berkenaan.

"Kami yakin ciri-ciri dan kandungan yang dipertingkatkan ini akan menyalur maklumat kepada pihak berkepentingan untuk membuat keputusan termaklum dan memacu perubahan positif ke arah masa depan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan.

MPOC berkata laman web yang direka bentuk semula itu menampilkan antara muka mesra pengguna dan kandungan yang ditambah baik, mencerminkan komitmennya terhadap ketelusan, kemampanan dan inovasi dalam sektor minyak sawit.

“Laman web MPOC baharu menawarkan beberapa ciri utama yang direka untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan memberikan pandangan berharga mengenai industri minyak sawit Malaysia.

"Ia menawarkan kebolehcapaian yang dipertingkatkan, memastikan pihak berkepentingan boleh mengakses maklumat dengan mudah merentas pelbagai peranti serta sumber komprehensif termasuk laporan penyelidikan, analisis pasaran, garis panduan kemampanan dan bahan promosi," katanya.

Selain itu, laman web itu menggabungkan elemen interaktif seperti berfungsi sebagai pembantu kecerdasan buatan untuk memupuk libat urus yang lebih baik dan memberikan respons pada masa nyata kepada pertanyaan pengguna.

Ia akan menampilkan inisiatif kemampanan MPOC seiring dengan komitmennya untuk menangani cabaran alam sekitar, sosial dan ekonomi dalam industri.

Pihak berkepentingan minyak sawit boleh mengakses tapak web MPOC yang baru dilancarkan itu di https://mpoc.org.my/ untuk meneroka lebih lanjut mengenai industri minyak sawit Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan