AM

PM Luang Masa Tinjau Perjalanan Keb 2024 

29/02/2024 07:25 PM

PUTRAJAYA, 29 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau perjalanan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

KEB 2024, yang dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu, diadakan bagi menetapkan hala tuju, dasar dan pendekatan baharu agenda pemerkasaan bumiputera. 

Ketibaan Perdana Menteri pada kira-kira 4 petang di PICC disambut oleh Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum beliau meluangkan masa mengikuti sesi Diskusi MADANI bertajuk 'Aspirasi Perpaduan Memperkukuh Agenda Bumiputera.'

Sesi itu menampilkan tiga anggota panel iaitu Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan.

Anwar memilih untuk mengikuti sesi itu di tempat duduk media berbanding tempat duduk kenamaan seperti kelaziman sebelum melawat reruai yang disediakan sepanjang KEB 2024. 

Sepanjang tempoh hampir sejam itu, beliau turut meninjau produk tempatan yang dipamerkan selain menikmati kopi jenama tempatan bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di reruai MARA.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucaptama KEB 2024 hari ini mencadangkan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.

KEB 2024, yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir pada 2 Mac, membabitkan pembentangan dapatan Sesi Libat Urus meliputi 10 kumpulan.

Kumpulan terbabit ialah Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Pilihan Kerjaya Utama; Pengukuhan Industri Halal; Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli; Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah; Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan