AM

Jualan Agro Madani Dengan Kerjasama Maips Raih Lebih Rm30,000

29/02/2024 11:38 PM

KANGAR, 29 Feb (Bernama) -- Jualan Agro MADANI dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merekodkan nilai jualan RM30,623 pada minggu pertama penganjuran jualan itu di Dataran MAIPs di sini, pada Khamis minggu lepas.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis Mohd Anzara Azizan berkata jualan itu mendapat sambutan memberangsangkan pada Khamis lepas yang bermula 3 petang hingga 8 malam.

"Untuk penganjuran yang kali kedua hari ini, kita beroperasi pada pukul 4 petang hingga 8 malam untuk memberi peluang kepada pekerja yang pulang dan terus membeli barang keperluan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Anzara berkata jualan itu yang melibatkan 36 peniaga antara lain menawarkan barangan keperluan seperti beras 10 kilogram (kg) berharga RM26, daging tempatan (RM32 sekilogram) dan jualan Kombo MADANI RM10 bagi satu set yang terdapat seekor ayam dan sayur.

Sementara itu, ibu tunggal kepada tiga anak, Noreen Nazila Che Salim, 42, berkata jualan itu memudahkannya membeli barangan keperluan dapur dengan harga murah serta tidak jauh dengan tempat kerjanya.

“Saya bekerja di sekitar Kangar, apabila saya dapat tahu ada Jualan Agro MADANI di sini, saya sangat bersyukurlah, kerana barang yang dijual murah tidak sama dengan di kedai, kemudian saya boleh membeli barang selepas kerja kerana ia beroperasi pada pukul 4 hingga 8 malam,” katanya yang bekerja sebagai kerani.

Pembantu tadbir, Shikin Rosli, 26, pula berkata Jualan Agro MADANI membantunya menjimatkan kos dan masa.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan