AM

Titah Agong, Tindakan Keluar Dewan Warnai Minggu Pertama Persidangan Dewan Rakyat

01/03/2024 10:57 AM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirainya pada 26 Feb menyaksikan buat pertama kalinya Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan titah Seri Paduka Baginda serta 'pesanan' kepada Ahli-ahli Parlimen untuk memberikan sepenuh perhatian. 

Antara perkara yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 adalah mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya bersatu hati dan menumpukan segala usaha membela nasib rakyat.

Seri Paduka Baginda juga menyentuh perkara yang melibatkan perpaduan dalam kalangan rakyat, aspek keterjaminan makanan negara, pembangunan ekonomi serta yang terkait tingkah laku Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam persidangan.

Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja kemudian dibawa Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof pada hari kedua persidangan dengan mencadangkan satu pindaan bagi membolehkan mekanisme kawalan terhadap isu integriti dan sebarang ketirisan yang merugikan negara boleh disekat di peringkat lebih awal.

Setakat ini 51 Ahli Parlimen telah berbahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang merangkumi pelbagai isu seperti pendidikan, kos sara hidup, sektor berteknologi tinggi dan pasaran kerja dalam kalangan graduan tempatan.

Minggu pertama Dewan Rakyat juga melakar sejarah tersendiri apabila ikrar Rukun Negara dilafazkan Ahli-ahli Parlimen sejurus persidangan bermula. 

Ia adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Perpaduan Negara susulan keputusan Jemaah Menteri pada 25 Julai tahun lepas supaya Rukun Negara dilafazkan secara penuh di Dewan Rakyat.

Minggu pertama sidang Dewan Rakyat juga ‘panas’ dengan tindakan Ahli-ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Ia susulan kebenaran Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul untuk Anwar menyampaikan Ucapan Tahniah dan Ikrar Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, serta Ucapan Terima Kasih kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di pertengahan sesi Perbahasan Titah Diraja.

Bagaimanapun, Perdana Menteri membidas sikap pembangkang yang tidak sopan dan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong dengan tindakan mereka itu.

Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan kali ini diadakan selama 19 hari dengan perbahasan Titah Diraja berlangsung dari 27 Feb hingga 7 Mac, diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Selepas itu, persidangan akan diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang sehingga 27 Mac.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan