AM

UTM ROYAL GALA DINNER 2024 SASAR KUMPUL DANA LEBIH RM5 JUTA

03/03/2024 06:04 PM

JOHOR BAHRU, 3 Mac (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyasarkan kutipan dana berjumlah lebih RM5 juta menerusi penganjuran UTM Royal Gala Dinner 2024 yang dijangka dihadiri 600 tetamu.

Naib Canselor UTM Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata tawaran penjualan meja adalah mengikut kategori dan harga iaitu Gangsa bernilai RM20,000, Perak (RM40,000), Emas (RM60,000), Platinum (RM100,000), Premier (RM250,000) dan Titanum (RM500,000).

“Insentif yang ditawarkan adalah, setiap penajaan dan pembelian meja UTM Royal Gala Dinner 2024 akan mendapat pengecualian cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata UTM Royal Gala Dinner yang dianjurkan setiap dua tahun, merupakan usaha bagi mengumpul dana untuk membantu pelajar UTM yang kurang berkemampuan, sekali gus meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran universiti itu.

Justeru, beliau mengharapkan agar semua pihak sama ada individu atau korporat tampil menjayakan majlis tersebut.

Ahmad Fauzi berkata dana terkumpul akan disalurkan kepada beberapa tabung dana UTM antaranya Tabung Endowmen, Tabung Wakaf Pendidikan, Tabung Endowmen Alumni UTM, Tabung Because We Care Chancellor Fund, Tabung Endowmen Persatuan Alumni dan Tabung Endowmen Fakulti.

Beliau berkata UTM Royal Gala Dinner 2022 yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, yang juga Canselor UTM, di Persada Johor pada 16 Julai 2022 berjaya mengumpul dana lebih RM5 juta menerusi hasil penjualan meja dan penajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan