AM

Penglibatan Glc, Glic, Swasta Berupaya Mantapkan Pembelajaran Tvet

04/03/2024 11:57 AM

Oleh Rosmalis Anuar

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta swasta dalam melatih pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu memantapkan pembelajaran TVET melalui perkongsian kepakaran pihak industri.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohd Zahari Ismail berkata hasil kerjasama jabatan itu dengan beberapa GLC dan GLIC serta swasta sebelum ini terbukti memberi sumbangan besar kepada pembangunan TVET dalam pelbagai aspek.

Beliau berkata ini termasuk pembangunan serta penambahbaikan kurikulum dan program, penajaan atau pembiayaan, pemindahan ilmu dan teknologi, peluang latihan industri kepada pelajar serta pensyarah selain penawaran pekerjaan dengan gaji yang bermakna.  

"Antara contoh syarikat GLC yang terlibat (sebelum ini) ialah Telekom Malaysia yang melabur RM3.5 juta bagi menaik taraf TVET dan menyediakan biasiswa untuk pelajar B40. Maybank pula memberi kepercayaan kepada sembilan tenaga pengajar atau pensyarah mengikuti program sangkutan yang julung kali diadakan di industri perbankan," katanya kepada Bernama.

Mohd Zahari berkata selain itu, seramai 81 pelajar politeknik diberi peluang menjalani latihan industri di beberapa negara antaranya Hungary, Qatar, Singapura, Thailand dan United Kingdom melalui kerjasama dengan beberapa syarikat GLIC.

"Melalui pendedahan bekerja di peringkat antarabangsa, pelajar berpeluang menimba pengalaman yang lebih terbuka selain terus ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang progresif atau premium," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya pada Sabtu berkata seramai 100,000 pelatih TVET bumiputera akan dilahirkan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan.

Anwar berkata GLC dan GLIC serta syarikat swasta termasuk yang dimiliki kaum Cina dan India akan turut terlibat dalam inisiatif itu bagi melatih pelatih TVET yang majoritinya adalah bumiputera.

Mohd Zahari pula berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan di peringkat Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) bagi melahirkan tenaga kerja mahir termasuk Program Latihan Industri Berstruktur (LIB) namun hanya 25 pihak industri yang terlibat dalam program itu berbanding 14,790 bagi program latihan industri umum.

Beliau berkata kebolehpasaran graduan POLYCC bagi tahun 2023 ialah lebih 95 peratus, justeru libat urus secara konsisten dengan pihak industri perlu dibuat agar graduan yang dilahirkan sentiasa memenuhi keperluan industri dan relevan dengan perubahan teknologi semasa.

Bagi Pengerusi Persatuan Pembangunan TVET Nasional Mohamad Yaacob, GLC, GLIC dan syarikat swasta boleh terlibat dalam merangka modul pembelajaran TVET dengan memasukkan latihan dalam teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan, Internet Benda, Revolusi Industri 4.0 dan kenderaan elektrik.

Beliau berkata bidang pekerjaan baharu yang muncul daripada perkembangan teknologi itu memerlukan latihan dan peningkatan kemahiran bagi menjamin upah lebih tinggi.

"Perubahan sebegini boleh dilakukan malah kepada industri yang berintensif buruh dan seterusnya boleh menggantikan pekerja warga asing," katanya.

Mohamad juga berkata pengumuman Perdana Menteri tepat pada masanya kerana perkembangan teknologi pada masa ini memerlukan penglibatan aktif GLC, GLIC dan syarikat swasta dalam membantu memartabatkan latihan TVET agar tidak lagi dilihat sebagai pembelajaran kelas kedua.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan