AM

Akta Baharu Kuat Kuasa "kill Switch" Ambil Kira Tindakan Tegas Terhadap Bank Jika Cuai

04/03/2024 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Akta baharu merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan kill switch untuk meningkatkan keselamatan digital akan turut mengambil kira tindakan tegas terhadap pihak yang cuai dalam menangani jenayah penipuan dalam talian, termasuk institusi kewangan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata pihak bank perlu bertanggungjawab dan tidak boleh mengelak daripada mengambil sebarang tindakan sekiranya berlaku kes penipuan dalam talian yang melibatkan kecuaian institusi itu.

“… jika ada mana-mana bank yang sedang atau telah berbuat demikian (kecuaian), boleh merujuk agensi berkaitan supaya tindakan selanjutnya dapat diambil. Walaupun sedemikian, rang undang-undang yang sedang dikaji ini akan merangkumi semua perkara ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyakan sekiranya undang-undang yang bakal digubal itu akan mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan kecuaian berkaitan kes penipuan dalam talian, termasuk institusi kewangan.

Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan sedang merangka satu akta baharu yang merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan kill switch bagi aktiviti penipuan platform dalam talian secara automatik.

Menjawab soalan asal Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai jumlah kerugian akibat jenayah penipuan dari 2020 hingga 2023, Kulasegaran berkata sebanyak 107,716 kes penipuan dalam talian dengan kerugian dianggarkan bernilai RM3.2 bilion dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan tidak memandang rendah terhadap isu penipuan dalam talian dan tindakan menyeluruh sedang diambil bagi membanteras jenayah itu.

“Ia termasuk penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang berfungsi untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang menyeluruh bagi memerangi kesalahan penipuan kewangan dalam talian termasuk respons pantas dalam menjejaki dana.

“Selain itu, NSRC menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan dibantu oleh industri telekomunikasi dapat mengenal pasti nombor telefon yang digunakan dalam perlakuan kesalahan penipuan ini dengan mengambil tindakan sekatan dan penamatan perkhidmatan nombor telefon berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan