EKONOMI

Lapan Syarikat Australia Akan Bawa Pelaburan Baharu, Tambah Pelaburan Ke Malaysia - Zafrul

05/03/2024 05:00 PM
Daripada Leslean Arshad

MELBOURNE, 5 Mac (Bernama) -- Lapan syarikat Australia telah menyatakan komitmen untuk membawa pelaburan baharu dan menambah pelaburan sedia ada ke Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Kesemua syarikat itu telah memaklumkan perkembangan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mereka bertemu dengan Anwar di Melbourne pada Selasa. Perdana Menteri sedang mengadakan lawatan rasmi selama empat hari ke Australia.

Beliau berkata antara aktiviti pelaburan yang akan dibawa masuk ke Malaysia adalah teknologi hijau dan tenaga guna baharu.

“Insya-Allah, komitmen lapan syarikat itu (pelaburan baharu dan menambah pelaburan) kini di peringkat akhir,” katanya ketika ditemui media Malaysia di Melbourne pada Selasa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan pertemuan dengan tokoh perniagaan dan eksekutif kanan 18 syarikat terkemuka Australia dalam sesi perbincangan meja bulat pada Selasa, selain mengadakan sesi bersemuka satu dengan satu untuk mendengar pandangan mereka.

Menurut Tengku Zafrul, Anwar turut bertemu wakil Lynas pada Selasa dan sebarang isu berbangkit berkaitan syarikat pengeluar nadir bumi itu berjaya diselesaikan.

Dalam sesi meja bulat pula, Tengku Zafrul berkata antara perkara yang dibangkitkan oleh syarikat yang hadir adalah mengenai proses memudah cara pelaburan dan perdagangan, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan peranan Malaysia dalam perdagangan global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan