EKONOMI

Iwh, Pls, Unit Sihc Meterai Mou Bangunkan Taman Perindustrian Johor-shenzhen Dan Hab Inovasi

05/03/2024 09:18 PM

JOHOR BAHRU, March 5 (Bernama) -- Iskandar Waterfront Holdings (IWH) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan PLS Plantations Bhd dan anak syarikat milik penuh Shenzhen Investment Holding Co Ltd (SIHC) China, Shenzhen Shenyue Joint Investment Co, untuk membangun dan melaksanakan Taman Perindustrian Johor-Shenzhen dan projek-projek Hab Inovasi di Johor.

IWH dalam satu kenyataan hari ini berkata MoU itu ditandatangani sempena lawatan rasmi oleh delegasi Johor yang diketuai Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi ke China.

Ia berkata IWH dan PLS diwakili oleh Tan Sri Lim Kang Hoo manakala SIHC diwakili oleh Ketua Jurutera Wang Ge.

IWH berkata tujuan MoU itu adalah untuk memformalkan hasrat pihak-pihak tersebut bagi meneroka lebih lanjut, membincangkan, menyediakan dan merancang tindakan pembangunan projek di Johor untuk meningkatkan daya saing antarabangsa dalam kalangan industri di Taman Perindustrian Johor-Shenzhen.

Katanya MoU itu juga bertujuan untuk melaksanakan strategi pembangunan yang memberi tumpuan kepada kualiti kejuruteraan pembuatan, projek-projek pengembangan ekosistem dan pembukaan pasaran antarabangsa serta memupuk pembangunan industri strategik baru muncul sejajar dengan industri dan teknologi yang diberi penekanan.

“Taman perindustrian yang dicadangkan, kira-kira seluas 1,000 padang bola sepak, akan menjadi salah satu kawasan perindustrian baharu bersepadu sepenuhnya yang dibina khas di Johor.

Ia akan direka bentuk untuk menyediakan ruang pejabat syarikat dan kemudahan pengeluaran serta perkhidmatan sokongan yang berkaitan untuk menggalakkan pembangunan dan kerjasama industri,” katanya.

Ia berkata taman perindustrian itu akan dilengkapi dengan Hab Pembangunan Inovasi Johor-Shenzhen yang akan ditubuhkan di daerah pusat perniagaan Johor Bahru, yang akan menyediakan sumber dan sokongan untuk aktiviti-aktiviti inovatif serta inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor.

IWH berkata PLS ialah pemilik tanah salah satu lokasi yang dikenal pasti untuk Taman Perindustrian Johor-Shenzhen seluas 405 hektar di Ulu Sedili di Kota Tinggi dan Hab Inovasi Johor-Shenzhen seluas 20 hektar di Johor Bahru, yang dijangka menjadi pemangkin baharu di negeri Johor.

“Ia akan menjadi tarikan industri dan syarikat berteknologi tinggi serantau untuk menubuhkan hab R&D dan kilang pembuatan serantau mereka di kawasan yang dicadangkan itu,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata kedua-dua projek berkenaan akan meneruskan gelombang perindustrian di Johor dirangsang oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang diumumkan baru-baru ini dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura menjelang 2026.

"Kedua-dua projek ini memberi nilai yang positif untuk Johor dan akan menarik minat daripada perniagaan, dalam dan luar negara," katanya sambil menambah Johor kini berada pada trajektori pertumbuhan yang dinamik.

SIHC ialah anak syarikat milik penuh kerajaan wilayah Shenzhen, iaitu syarikat Fortune 500 yang sehingga kini telah membangunkan 50 taman perindustrian seluas lebih 3,237 hektar di Shenzhen, tenggara China.

IWH, yang mana kerajaan negeri Johor memiliki 37 peratus pegangan saham melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd, merupakan salah satu pemaju tanah terbesar di Iskandar Malaysia yang memiliki lebih daripada 1,699 hektar bank tanah, termasuk tanah persisiran utama di Johor Bahru.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan