Siapa sangka, di sebalik kelembutan wajah dengan aura keibuan, Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Ummi Kalthum Shuib adalah seorang yang tegas dan tidak mudah tunduk kepada kedegilan penduduk yang melanggar undang-undang berkaitan pembuangan sisa pepejal.
Sikap itu terserlah semasa beliau menyertai operasi penguatkuasaan ke atas sebuah rumah “pengumpul” (hoarder) sampah di sebuah kawasan perumahan di Segambut, di sini baru-baru ini.
“Kalau tak buka pintu, saya panggil polis. Tolong keluar sekarang,” kata beliau ketika meminta penghuni kediaman itu keluar.
Klip video operasi itu dimuat naik ke akaun TikTok SWCorp atau Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Wilayah Persekutuan, dan menerima 9.5 juta tontonan serta lebih 309,000 tanda suka (like) setakat artikel ini ditulis.
PENGUMPUL SAMPAH, WARGA ASING CABARAN UTAMA
Berkongsi pengalamannya dengan Bernama dalam satu temu ramah baru-baru ini, Ummi Kalthum berkata isu pengumpul sampah antara cabaran utama yang dihadapi oleh penguat kuasa SWCorp Wilayah Persekutuan dalam memastikan kebersihan di dua wilayah jagaannya.
"Kami mengambil pendekatan mengenal pasti masalah di sebalik kes-kes hoarder ini dengan berkunjung ke rumah mereka setiap kali menerima aduan daripada orang ramai. Bukan semua kes hoarder ini berpunca daripada masalah mental.
"Ada juga yang menjadikan sampah sarap sebagai sumber rezeki harian mereka dan mengumpulkan bahan buangan selama lima tahun sehingga mengganggu ketenteraman awam, seperti menyebabkan longkang tersumbat, bau busuk serta masalah tikus di rumah jiran tetangga,” jelas wanita berusia 50 tahun itu.
pic-2
Mengetuai SWCorp Wilayah Persekutuan sejak 2021 serta merupakan satu-satunya wanita yang menerajui badan berkanun di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, Ummi Kalthum antara lain bertanggung jawab memastikan pematuhan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dalam kalangan penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bercerita lanjut, beliau berkata apabila pihaknya menerima aduan tentang pengumpul sampah, penguat kuasa akan ke premis berkenaan dan memberi nasihat serta amaran terlebih dahulu.
“Jika masih degil, barulah kami mengambil tindakan di bawah Akta 672, " katanya.
Antara lain, akta itu memperuntukkan denda RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara selama enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan pembuangan sampah secara haram.
Berpegang pada prinsip “jelas dan tegas”, Ummi Kalthum berkata data SWCorp menunjukkan kadar sampah tidak pernah berkurangan disebabkan oleh amalan kitar semula yang sangat rendah dalam kalangan penduduk Wilayah Persekutuan, khususnya mereka yang mendiami bangunan berstrata.
"Kebanyakan kawasan yang tidak mengamalkan kitar semula adalah bangunan-bangunan berstrata seperti pangsapuri, atas alasan JMB (Badan Pengurusan Bersama) 'hilang dari radar' menyebabkan penduduk membuang sampah begitu sahaja tanpa membuat pengasingan.
"Selain itu, warga asing juga menjadi cabaran buat JMB untuk mendidik penduduk pangsapuri mereka agar mengasingkan sisa pepejal kerana faktor bahasa selain budaya kotor yang dibawa dari negara asal,” jelasnya, menambah hanya 29.5 peratus bangunan berstrata di sekitar ibu kota dan Putrajaya yang penghuninya melaksanakan pengasingan sisa pepejal.
pic-3
SENTIASA TURUN PADANG
Menurut Ummi Kalthum yang merupakan ibu kepada lima orang anak, beliau tidak kisah turun padang menyertai operasi pada bila-bila masa, termasuk tengah malam, demi melaksanakan tanggungjawabnya mendidik warga Wilayah Persekutuan dalam soal pembuangan sampah.
"Meskipun pengurusan sisa pepejal ini tergolong dalam kategori 3D (kotor, bahaya, sukar), keadaan ini bukan penghalang buat pasukan kami yang mempunyai 88 penguat kuasa termasuk 17 wanita, untuk melaksanakan tugas dengan baik.
“Lebih-lebih lagi kami mendapat sokongan ahli keluarga, dan masing-masing juga mempunyai semangat yang tinggi untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.
Menurut beliau, gender juga bukan halangan bagi penguat kuasa wanita menjalankan tanggungjawab di tempat berbahaya kerana mereka telah dilatih agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk risiko ancaman kesihatan dan fizikal.
“Yang mengandung juga masih turun padang, cuma apabila sudah menghampiri waktu bersalin, mereka ini akan ditugaskan di pejabat,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, Ummi Kalthum tidak menafikan ada masanya beliau berasa letih dan kecewa dengan sikap penduduk yang masih berdegil dan liat dari segi pengasingan sisa pepejal khususnya.
"Saya bersyukur kerana suami dan anak-anak sangat 'supportive',” ujarnya.
Beliau juga tidak bersetuju dengan tanggapan umum bahawa wanita adalah golongan lemah serta mudah dipengaruhi oleh emosi.
"Jika kita lihat dari segi pengurusan rumah tangga, wanita dilahirkan dengan sikap yang sangat teliti dan sistematik berbanding lelaki, oleh sebab itulah mereka boleh 'multitasking' (melakukan pelbagai perkara serentak), iaitu menjadi seorang wanita bekerjaya, dan pada masa yang sama, menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu," katanya.
KESEIMBANGAN GENDER
Bagi Khor Sue Yee, pengasas bersama Zero Waste Malaysia, iaitu sebuah badan tidak berasaskan keuntungan, cabaran terbesar dalam memperjuangkan isu pengurusan sisa pepejal ialah memastikan keseimbangan gender sukarelawan.
Menurut beliau, di organisasi itu sendiri, sukarelawan wanita lebih menonjol berbanding lelaki dalam memperjuangkan isu perubahan iklim serta alam sekitar.
pic-4
"Kami dapati kaum wanita lebih teliti dan sistematik dalam menguruskan hal-hal rumah tangga, selain sangat prihatin dan memahami golongan yang ditindas akibat perubahan iklim.
"Selain itu, kaum wanita juga selalunya lebih menonjol dari segi menyampaikan idea mereka secara terbuka kerana dalam memperjuangkan hak jantina, mereka selalunya lebih berpengetahuan dan berani bersuara bagi meyakinkan orang ramai terhadap perjuangan mereka," katanya.
Tegas beliau, pemerkasaan wanita juga bukan tentang isu dominasi, sebaliknya bertujuan menjalin kerjasama bagi melahirkan generasi masa depan yang lebih baik dalam membina negara yang berdaya saing.
"Walaupun majoriti sukarelawan di Zero Waste Malaysia adalah wanita, kami akan pastikan keseimbangan jantina dari segi penyertaan sukarelawan semasa menjalankan kempen kesedaran kitar semula ataupun kerjasama dengan persatuan penduduk, syarikat dan sekolah-sekolah,” katanya.
Khor berkata bagi memupuk kesedaran dalam kalangan kanak-kanak, penyertaan sukarelawan wanita dilihat lebih berkesan kerana imej keibuan yang dipamer memudahkan mereka mendekati kanak-kanak terbabit.
"Jika kami mengadakan kempen di sekolah bersama-sama dengan murid, ataupun berinteraksi dengan kanak-kanak di kawasan perumahan, kami dapati mereka lebih senang mendekati para sukarelawan wanita, menjadikan kerja-kerja kami lebih mudah dalam menyampaikan mesej kepada mereka.
"Kami percaya didikan sejak usia muda merupakan kaedah terbaik bagi membolehkan seseorang itu memahami konsep kitar semula dengan mudah, sekali gus dapat mempraktikkan kehidupan sifar sisa setiap hari,” katanya.
KOMUNIKASI BERKESAN
Bagi pengasas bersama Greensteps Malaysia dan juga pencipta kandungan Jolene Tan, beliau percaya empati yang ada pada wanita serta naluri mereka memainkan peranan penting dalam mendorong masyarakat ke arah amalan lestari.
Greensteps Malaysia merupakan organisasi yang menumpukan pada pembentukan masyarakat rendah karbon menerusi pendekatan lestari berasaskan tiga tonggak, iaitu mereka bentuk semula bandar, pembangunan rendah karbon dan perubahan sikap.
pic-5
Menurut beliau, inisiatif tersendiri seperti program mengutip barangan kitar semula di rumah serta inisiatif pembuatan kompos, adalah perkara yang selari dengan kehidupan harian masyarakat, sekali gus memudahkan mereka menerima guna amalan terbabit.
“Komunikasi dan kerjasama adalah dua aspek yang saya pelajari bagi memupuk perkongsian dan penglibatan orang ramai. Menerusi aspek ini, saya dapat bekerjasama rapat dengan pasukan saya serta pihak berkepentingan bagi memacu pembangunan bandar raya sifar sampah,” katanya kepada Bernama.
Bekas Miss Earth Malaysia 2013 itu berkata walaupun usaha mengubah sikap masyarakat tentang pengurusan sisa secara lestari mengambil masa, seseorang perlu percaya pada kemampuannya dalam mengubah pemikiran ahli masyarakat.
“Saya juga mengambil masa yang lama untuk menerima guna amalan ini. Namun ketabahan dan kecekalan pasti akan membuahkan hasil,” tegas beliau.
(Artikel ini bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang dirai pada setiap 8 Mac.)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial