KUANTAN, 12 Mac (Bernama) -- Dua pemandu lori maut apabila kenderaan dipandu mereka bertembung dalam kejadian di Kilometer (km) 67, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Luit, Maran hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran DSP Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata Ismanizam Zulkanain Azmi, 22, dari Kampung Peramu di sini dan Nik Mohamad Zainudin M.Baki, 38, dari Felcra Sri Makmur meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata insiden kira-kira 12.30 tengah hari itu berlaku apabila lori jenis Isuzu dipandu Ismanizam yang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur hilang kawalan apabila tiba di lokasi kemalangan.
"Ketika melalui jalan selekoh, lori dipandu Ismanizam dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori jenis Hino yang dipandu Nik Mohamad Zainudin.
"Rentetan kemalangan itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian dan jenazah mereka dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat," katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lori dipandu Ismanizam semasa kejadian tidak membawa sebarang muatan manakala lori dipandu Nik Mohamad Zainudin membawa muatan buah kelapa sawit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial