Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Enam kali gagal dalam perniagaan hingga kerugian ratusan ribu ringgit tidak membuatkan jurutera data ini berputus asa mencipta magis dalam bidang yang diminatinya.
Ibarat kata pepatah ‘pantang berundur sebelum berjuang’, Abdul Qayyum Halid, 28, kini boleh berbangga kerana berjaya menempa nama sebagai pencipta kandungan menerusi label ‘Che Sayang Kitchen’, sekali gus membuka laluannya sebagai usahawan.
Popular dengan slogan ‘2 Minit 1 Resepi bersama Che Sayang’, Abdul Qayyum juga tidak lokek berkongsi resipi makanan dan minuman menyelerakan menggunakan resipi yang diwarisi daripada ibunya, Khairiah Ab Rahman, 53, menerusi pelbagai platform media sosial.
Hasil perkongsian itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Sistem Maklumat daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) ini memiliki lebih 1.4 juta pengikut menerusi aplikasi TikTok, 552,000 pengikut Instagram dan lebih 31,000 pelanggan menerusi platform YouTube.
Menjadikan ruangan dapur di rumah ibunya di Seri Manjung, Perak sebagai set penggambaran, Abdul Qayyum tidak menyangka mendapat perhatian meluas kerana pada awal penglibatannya hanya menggunakan telefon pintar sebagai medium untuk merakam gambar serta video masakannya sebelum beralih kepada penggunaan kamera yang lebih canggih untuk menghasilkan kandungan lebih berkualiti.
Bergiat aktif secara sambilan menerusi media sosial sejak tahun lepas, Abdul Qayyum berkata Che Sayang Kitchen adalah perniagaan ketujuh yang diceburi sejak 2013.
"Saya bermula dengan menjual roti berharga RM1, kemudian mencuba perniagaan stimbot cucuk bebola, membangunkan syarikat berasaskan teknologi dan syarikat perkhidmatan penghantaran dan menjual biskut chocoflakes serta acar ikan masin.
“Semuanya gagal, tetapi kerana suka berniaga dan ingat pesanan arwah bapa, saya teruskan meneroka peluang pelbagai perniagaan sehingga akhirnya ‘berjodoh’ dengan Che Sayang Kitchen,” katanya kepada Bernama.
Berkongsi detik awal kariernya sebagai pencipta kandungan, Abdul Qayyum berkata ia bermula apabila mencuba resipi yang dikongsikan ibunya dan kemudian merakamkan cara-cara memasak sebelum memuat naik dalam media sosial miliknya.
“Keluarga sangat menyokong usaha saya dan tidak keberatan membantu dan kebanyakan resipi dikongsi adalah jenis mudah serta kerap dimasak di rumah.
“Jadi apabila menerima maklum balas positif daripada orang ramai, saya teruja sekali gus membuatkan lebih bersemangat untuk berkongsi lebih banyak resipi,” katanya yang menjadikan pempengaruh media sosial dan usahawan Khairul Aming sebagai idola.
Baru-baru ini, Abdul Qayyum diumum sebagai Pempengaruh Makanan Nasional Terbaik pada KNKV Viral Award 2024, sekali gus membuktikan minatnya terhadap bidang masakan dan penciptaan kandungan tidak sia-sia.
Baginya kejayaan mengungguli kategori utama pada anugerah itu memberi makna yang cukup mendalam, apatah sebagai pendatang baharu dalam bidang berkenaan.
“Ini kejayaan pertama saya sebagai pencipta kandungan, membuatkan saya rasa dihargai kerana kerjaya ini memerlukan sokongan daripada orang ramai. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik pada masa hadapan,” katanya yang merancang untuk mengeluarkan produk sendiri.
Sempena Ramadan ini, penerima Anugerah Canselor Emas dan Anugerah Naib Canselor Emas daripada UTP itu tampil berkongsi cara mudah bagi menyediakan hidangan bersahur dan berbuka puasa serta hidangan popular yang terjual di bazar Ramadan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial