EKONOMI

MANFAATKAN DANA PEMBANGUNAN PERNIAGAAN MALAYSIA-SINGAPURA, KATA MIDA

20/03/2024 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggalakkan kalangan perniagaan untuk memanfaatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura (MSBDF) bagi menjalankan usaha sama di negara-negara ketiga.

Agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu berkata penambahbaikan bermakna bagi perjanjian MSBDF itu telah dipersetujui antara Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong pada 30 Okt, 2023.

Dana yang pada awalnya diwujudkan pada 2004 untuk meningkatkan kerjasama antara sektor swasta kedua-dua negara, juga membolehkan Malaysia dan Singapura bekerjasama merebut peluang di negara-negara ketiga serta melaksanakan usaha rintis di negara asal dalam bidang seperti ekonomi hijau dan digital.

“Pertalian unik antara Malaysia dan Singapura ini dikukuhkan lagi oleh faktor geografi serta hubungan ekonomi dan budaya yang sudah lama terjalin.

“Penambahbaikan MSBDF ini menjadikan keadaan lebih kondusif bagi usaha kerjasama di masa depan. Kita sememangnya amat menggalakkan perniagaan untuk memanfaatkan MSBDF, satu lagi platform penting yang boleh hasilkan manfaat bermakna untuk rakyat dan perniagaan kita,” kata Tengku Zafrul dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata agensi itu berharap dapat memudahcara syarikat-syarikat yang berhasrat meneroka saluran baharu, sekali gus memastikan kelancaran proses untuk mereka yang berhasrat memanfaatkan peluang ditawarkan oleh MSBDF.

Dana diuruskan oleh MIDA dan Enterprise Singapore, agensi yang mengendalikan usaha pembangunan perusahaan di negara jiran itu, turut mengalu-alukan permohonan daripada perniagaan serta persatuan kedua-dua negara.

Maklumat lanjut mengenai garis panduan, kriteria kelayakan, prosedur permohonan serta mekanisme pembiayaan boleh diperoleh di laman web MIDA di https://www.mida.gov.my/invest-inmalaysia/business-facilitation/

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan