JENAYAH & MAHKAMAH

Peti Besi, Jongkong Emas Milik Pempengaruh Ditemukan Di Dasar Sungai

21/03/2024 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Polis berjaya menemukan semula peti besi yang mengandungi empat jongkong emas milik seorang pempengaruh, yang "disembunyikan" di dasar Sungai Sembrong, Batu Pahat, Johor, hasil penahanan empat individu pada 5 Mac lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata kesemua suspek iaitu seorang lelaki dan tiga wanita berumur antara 22 hingga 36 tahun itu ditahan di sekitar Batu Pahat oleh pasukan khas D4 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebelum diserahkan kepada polis Wangsa Maju untuk siasatan lanjut.

“Hasil penahanan itu, suspek lelaki telah membawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pihak polis ke Sungai Sembrong di Batu Pahat pada Selasa lepas dan hasilnya, polis berjaya menemukan semula peti besi pengadu yang mengandungi empat jongkong emas bernilai RM1 juta. 

“Selain jongkong emas, pihak polis juga dapat menemukan semula beberapa barang pengadu yang dilaporkan hilang antaranya 15 utas rantai emas, 14 utas gelang emas, cincin emas, tujuh beg tangan, loket emas dan wang tunai di sebuah rumah di Batu Pahat.

“Keseluruhan barangan yang ditemukan dianggarkan bernilai RM2.1 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek utama mempunyai 20 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, selain kesemua suspek dipercayai aktif terlibat dalam kes pecah rumah di Selangor dan Kelantan dengan menyasarkan kediaman ahli perniagaan atau pempengaruh media sosial.

Keempat-empat suspek kini dilanjut reman selama sembilan hari hingga 25 Mac ini. 

Pada 4 Mac, media melaporkan seorang usahawan wanita yang juga pempengaruh media sosial berputih mata apabila sebuah peti besi keselamatan miliknya yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai dianggarkan bernilai RM3 juta, dicuri dalam kejadian pecah rumah di Padang Balang, Sentul di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah dilaporkan berkata dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 malam hingga 12 tengah malam itu, turut dilarikan ialah beberapa beg tangan pelbagai jenama serta barang kemas milik ahli keluarga wanita berusia 43 tahun itu yang dianggarkan kira-kira RM3.5 juta.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan