JENAYAH & MAHKAMAH

Najib Fail Permohonan Cabar Kewujudan Titah Adendum, Jalani Baki Hukuman Penjara Di Rumah

03/04/2024 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April lepas menerusi Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah agar kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Jan 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib juga memohon perintah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda serta titah adendum selain memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Menerusi afidavit yang diikrarkan pada 1 April lepas, Najib berkata beliau telah memaklumkan melalui sesalinan surat kepada Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 25 Mac lepas mengenai niatnya untuk memfailkan notis permohonan semakan kehakiman terhadap pihak berkuasa yang relevan berkaitan titah itu.

"Ia kerana pada 29 Jan 2024, Tuanku Al-Sultan Abdullah merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan saya telah mengambil langkah sebagai rafak sembah hormat tertinggi saya.

"Pada tarikh sama, saya turut memaklumkan perkara yang sama kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai rafak sembah hormat tertinggi saya," katanya sambil menambah beliau tidak akan mengemukakan surat yang dihantar kepada kedua-dua Yang di-Pertuan Agong kepada mahkamah sebagai eksibit atas alasan kerahsiaan dan kewajaran.

Najib juga mendakwa permohonan itu bersifat bona fide kerana beliau telah terjejas teruk dan turut memfailkan notis perakuan segera agar ia didengar sebelum Aidilfitri yang dijangka disambut pada 10 April ini.

Permohonan itu akan didengar esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh.

Najib, 70, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan