EKONOMI

PEKERJAAN BERKAITAN HARTANAH TERUS DAPAT PERMINTAAN - INSPEN

09/04/2024 10:26 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) – Peluang pekerjaan dalam profesion sebagai jurunilai, pengurus hartanah dan ejen hartanah adalah cerah susulan peningkatan permintaan dalam industri terbabit, kata Pengarah Institut Penilaian Negara (INSPEN) Aina Edayu Ahmad.

Beliau berkata data Laporan Stok Harta Tanah bagi Suku Keempat 2023 oleh pihak Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), menunjukkan sebanyak 6.2 juta kediaman diurus dan diurusniagakan dalam industri berkenaan dan ini tidak termasuk jumlah keluasan lantai binaan, unit stok kedai, unit harta tanah industri dan lain-lain.

“Berikutan itu, peluang pekerjaan dalam ketiga-tiga pekerjaan ini adalah cerah dan luas, sama ada di sektor kerajaan mahu pun swasta,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Mengulas selanjutnya, Aina Edayu berkata mereka yang bekerja dalam industri itu juga tidak hanya perlu mengendalikan kalangan pembeli persendirian tetapi turut berpeluang menawarkan kepakaran kepada pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Persekutuan.

“Di sektor kerajaan, kami berkhidmat untuk Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, agensi dan badan berkanun untuk pelbagai maksud nilaian antaranya yang melibatkan percukaian, duti setem, pemerolehan, dan mendapatkan nilai pasaran bagi pelbagai tujuan pelaburan atau perkara berkaitan.

“Kami turut menyediakan data (yang diperoleh daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) kepada pelbagai agensi termasuk Bank Negara Malaysia, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan. Selain itu, kami turut menyediakan perkhidmatan rundingan kepada agensi-agensi kerajaan,” katanya.

Bagi sektor swasta, teras perniagaan lebih kepada penilaian untuk segmen runcit dan korporat. Ini terutamanya bagi tujuan pembiayaan dan gadaian supaya bank-bank memperoleh nilai sebenar bagi hartanah bagi tujuan pengambilalihan.

Pada masa ini, terdapat lebih 700 firma persendirian yang berdaftar dengan pihak Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah Dan Pengurus Harta (LPEPH).

Mengikut undang-undang Malaysia di bawah Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta 1981, hanya profesional bertauliah iaitu penilai harta tanah berdaftar dengan LPEPH diberi kuasa untuk memberikan nilai pasaran yang diperlukan oleh mana-mana institusi.

“Oleh itu, bank atau institusi kewangan dapat memelihara kepentingan masing-masing dengan memberi pinjaman pada jumlah tepat manakala pihak pembeli dapat mengetahui sama ada harta tanah dibeli itu berada pada nilai pasaran atau lebih rendah.

"Ini membolehkan semua pihak mendapat panduan yang betul dalam pelaburan mereka," katanya.

Selain itu, Aina Edayu berkata bidang kuasa penilai harta juga tidak hanya terhad kepada pinjaman sebaliknya turut merangkumi bagi tujuan jual beli; pengambilan tanah bagi menjayakan projek kerajaan untuk kepentingan rakyat seperti pengambilan tanah untuk bina lebuh raya atau jalan kereta api, percukaian atau keperluan perundangan yang lain dan pelaburan atau pengurusan berkaitan hal ehwal korporat.

INSPEN adalah institut latihan harta tanah dan pusat penyelidikan bagi Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di bawah Kementerian Kewangan.

Maklumat lanjut mengenai program-program INSPEN boleh diperoleh menerusi  https://icms.inspen.gov.my/.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan