AM

Gadis Jepun, Indonesia Teruja Sambut Aidilfitri Di Bernama

11/04/2024 10:41 AM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Berbusana kurung moden hitam, Miyu Iwamoto yang berasal dari Ishikawa, Jepun, tidak dapat menyembunyikan keterujaan "beraya” buat kali pertama selepas tiga tahun berada di negara ini.

"Saya seronok, sebab kali ini saya benar-benar beraya, bukan sekadar pergi makan di rumah terbuka.

"Di Jepun saya tidak berpeluang alami semua ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Gadis berusia 22 tahun itu adalah antara dua penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Xianmen University Malaysia yang sedang menjalani latihan industri sebagai wartawan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bermula 1 April lalu hingga 19 Julai depan.

Iwamoto yang ditempatkan di Bernama TV, berkata dia juga gembira kerana dapat belajar tentang kebudayaan di negara ini.  

“Saya seronok sebab dapat kenali baju yang dipakai seperti baju Melayu dan baju kurung. Makanan yang dihidangkan juga sedap-sedap,” katanya dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Sementara itu, rakannya Cheroll Angsudjatmiko, 21, yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia, berkata sambutan Aidilfitri di Malaysia jauh lebih meriah, khususnya dari segi juadah yang dihidangkan, berbanding di negaranya.

“Bagi saya, raya di Indonesia dan Malaysia tidak banyak beza, cuma makanan di Malaysia lebih pelbagai dan sedap-sedap belaka. Saya suka lemang dan ketupat.

"Pakaian yang dipakai oleh orang Malaysia juga menarik. Kalau perempuan, ada yang pakai kebaya, baju kurung dan lelaki pula berbaju Melayu,” kata gadis berketurunan Tionghua-Indonesia itu.

Terdahulu, Bernama meraikan semua petugasnya yang bekerja hari ini dengan hidangan nasi minyak, lemang, nasi himpit berserta rendang dan kuah kacang yang berlangsung meriah, seperti suasana hari raya bersama keluarga. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berharap juadah serta dekorasi raya yang disediakan dengan kerjasama bahagian Hal Ehwal Korporat Bernama itu, dapat membawa keceriaan dan suasana hari raya kepada petugas yang bekerja pada hari ini.

“Alhamdulillah, bagi pihak pengurusan saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang bertugas hari ini.

“Tiada ungkapan lain kecuali terima kasih dan syabas, kerana sedia bertugas pada Syawal pertama ini. Maaf zahir dan batin kepada semua,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan