JENAYAH & MAHKAMAH

Video Tular Mpv Dan Urb Kejar Kereta Di Taiping, Lelaki Ditahan

10/04/2024 09:18 PM

IPOH, 10 April (Bernama) -- Tindakan seorang lelaki yang enggan memberhentikan kenderaan dipandunya selepas diarahkan pihak polis berakhir dengan penahanannya apabila kenderaan terbabit melanggar beberapa kenderaan lain. 

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata pihaknya telah mengesan satu video berdurasi 50 saat menerusi aplikasi TikTok memaparkan aksi dua unit kereta peronda (MPV) dan dua unit rondaan bermotosikal (URB) mengejar sebuah kereta jenis Proton Waja di Jalan Kamunting-Jalan Ulu Sepetang, Taiping, Isnin lepas.

Beliau berkata siasatan mendapati kejadian berlaku pada Ahad lepas melibatkan anggota Balai Polis Kamunting yang sedang menjalankan tugas ronda cegah jenayah (RCJ) kira-kira 5.45 petang.

"Anggota polis berkenaan telah terserempak dengan kereta Proton Waja dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Polis mengarahkan pemandu itu memberhentikan kenderaannya bagi pemeriksaan tetapi pemandu itu bertindak melarikan diri memandu secara berbahaya serta melanggar beberapa kenderaan lain selain cuba melanggar kenderaan polis sebelum ditahan di Jalan Persiaran Kamunting," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nasir berkata hasil penahanan lelaki itu, polis menemukan beberapa peralatan disyaki digunakan untuk jenayah pecah rumah. 

Beliau berkata lelaki terbabit yang didapati positif dadah jenis MOP kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1960.

"Berikutan tindakan pantas anggota polis, tangkapan dapat dibuat terhadap suspek tanpa sebarang kecederaan termasuk orang awam,” katanya menambah pihaknya percaya penahanan lelaki itu sekali gus dapat mengurangkan kes jenayah terutama pecah rumah di sekitar Taiping dan Selama.

Mohamad Nasir menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan