AM

Koa Selai Tidak Dipinggirkan, Telah Terima Bekalan Air Pelbagai Sumber - Jakoa

11/04/2024 09:12 PM

JOHOR BAHRU, 11 April (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor menafikan dakwaan bahawa Kampung Orang Asli Selai, Bekok, Segamat dipinggirkan berkaitan pembaikan air tandak seperti dilaporkan sebuah portal berita semalam.

JAKOA Johor dalam kenyataan memaklumkan kampung itu telah menerima bekalan air pelbagai sumber (tube well) yang dibangunkan oleh JAKOA, malah jabatan itu juga sedang menaik taraf sistem bekalan elektrik di sistem rawatan air di kampung berkenaan.

Menurut JAKOA Johor kontraktor penyelenggaraan juga telah melantik Tok Batin Ahcai untuk menyelia sistem berkenaan setiap hari dengan bayaran RM400 setiap bulan bagi memastikan sistem rawatan air beroperasi dengan baik.

"JAKOA Johor ingin memperbetulkan salah tanggapan berhubung dakwaan bahawa Kampung Orang Asli Selai, Bekok, Segamat dipinggirkan.

"Kampung tersebut telah menerima bekalan air pelbagai sumber yang dibangunkan oleh JAKOA dan bekalan air tandak sedia ada telah dibangunkan sendiri oleh penduduk kampung yang diketuai Tok Batin Ahcai, bertujuan untuk kegunaan mereka,” menurut kenyataan itu.

JAKOA Johor memaklumkan penduduk terbabit juga menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,000 daripada kontraktor penyelenggaraan sistem rawatan air bagi membaik pulih sistem tandak itu.

“JAKOA sentiasa memastikan penduduk Kampung Orang Asli Selai tidak ketinggalan daripada menerima pembangunan seperti perkampungan Orang Asli Johor yang lain.

“Kampung Orang Asli Selai mempunyai 64 ketua keluarga dengan jumlah penduduk seramai 226 orang. Kampung itu dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti bekalan elektrik TNB, jalan premix serta bekalan air daripada pelbagai sumber,” menurut kenyataan itu.

Semalam portal berkenaan melaporkan penduduk Kampung Orang Asli Selai terpaksa menggunakan kayu dan batu dalam usaha membaiki paip serta kolam takungan (tandak) air mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan