AM

Little India P. Pinang Jadi Tumpuan Persiapan Chittirai Puthandu, Vishu

13/04/2024 05:04 PM

GEORGE TOWN, 13 April (Bernama) -- Masyarakat Tamil dan Malayali akan menyambut perayaan tahun baharu masing-masing iaitu Chittirai Puthandu dan Vishu esok, setiap tahun perayaan ini akan disambut secara besar-besaran di seluruh negara sebagai permulaan baharu bagi komuniti itu.

Tinjauan Bernama di Little India, Lebuh Pasar di sini mendapati ramai penganut Hindu dan Malayali membuat persiapan akhir seperti membeli bunga, buah-buahan dan barangan upacara sembahyang sejak pagi tadi.

K. Unnamalai, 45, yang meraikan Chittirai Puthandu melahirkan rasa gembira kerana sambutan kali ini jatuh pada Ahad, manakala hari ini (Sabtu) pula hari cuti yang memudahkannya membuat persiapan terakhir.

“Setiap tahun, selepas bekerja saya perlu bergegas membeli bunga, barangan sembahyang dan sayur-sayuran, tetapi tahun ini saya lebih tenang membuat persiapan,” katanya kepada Bernama di Little India hari ini.

Bagi N. Sutha Nair, 30, sehari sebelum perayaan Vishu ialah masa terbaik membeli sayur-sayuran untuk penyediaan hidangan vegetarian kerana ia akan lebih segar.

Menurut Presiden Malaysia Hindu Sangam T. Ganesan, Tahun Baharu Tamil kali ini dikenali sebagai tahun Krodhi dan masa yang terbaik bermula pada 10.50 malam 13 April, bertepatan dengan hari pertama bulan Chittirai (bulan pertama kalendar Tamil pada 14 April).

Sementara itu, Vishu menandakan hari pertama Tahun Baharu Zodiak, hari pertama dalam bulan yang dipanggil Medam, menurut panjangam (almanak) rasmi Sri Guruvayoorappan Devaswom Kerala; Kerala Mathrubumi Panjangam; Kerala Valya Panjangam dan Kerala Manorama Panjangam.

Dalam pada itu, kaum Sikh di Malaysia pula meraikan Vaisakhi hari ini iaitu perayaan menuai musim bunga dan kelahiran Khalsa oleh Guru Sikh yang ke-10, Guru Gobind Singh Ji, dan perayaan sedang berlangsung di kebanyakan gurdwara di Pulau Pinang.

Timbalan Presiden Gurdwara Sahib Bayan Baru Manjeet Singh memberitahu Bernama bahawa gurdwara itu memulakan Sri Akhand Path iaitu bacaan kitab suci agama Sri Guru Granth Sahib Ji yang berterusan untuk Vaisakhi pada 4 petang semalam dan dijangka selesai pukul 4 petang esok.

“Kami juga mengadakan Nishan Sahib Selami (upacara menaikkan bendera Khalsa) pada 5 petang hari ini dan diikuti oleh Naujawan Kirtan Darbar,” katanya.

Manjeet berkata gurdwara itu bersama dengan Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Pulau Pinang juga menganjurkan kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan, ceramah dan Bengkel Komputer Riba Gurbani untuk lebih 100 orang.

Kaum Sikh di negara ini akan meraikan pembentukan Khalsa esok, memperingati penubuhan Khalsa, komuniti Sikh yang telah disucikan dan dibentuk semula oleh Guru Gobind Singh pada 30 Mac 1699.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan