AM

64 Pelajar Sekolah Menengah Dilantik Duta Tvet Kolej Komuniti Kok Lanas

15/04/2024 08:47 PM

KOTA BHARU, 15 April (Bernama) -- Seramai 64 pelajar dilantik sebagai Duta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melaksanakan projek rintis di Kolej Komuniti Kok Lanas, di sini, hari ini.

Pengarah kolej Nik Ahmad Rizal Wan Ismail berkata pelajar yang terlibat merupakan pelajar Tingkatan Empat dan Lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, SMK Pangkal Kalong, SMK Mulong dan SMK Salor.

Beliau berkata kesemua pelajar tersebut, akan ditugaskan bagi menyampaikan segala input berkaitan program dan pengkhususan yang ditawarkan di bawah TVET sebagai pilihan pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sasaran ialah pelajar yang bakal menamatkan pembelajaran di peringkat SPM, yang seterusnya diperlukan bagi melanjutkan pelajaran mereka selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Duta TVET @ KLCC 2024, di kolej itu, di sini, hari ini.

Nik Ahmad Rizal berkata bagi lanjutan pengajian di kolej komuniti syaratnya adalah mudah, iaitu lulus SPM dengan satu kredit dan bagi pelajar B40 ada disediakan bantuan kewangan.

“Lepasan SPM boleh memilih program utama yang ditawarkan iaitu Sijil Dandanan Rambut, Sijil Terapi Kecantikan dan Spa, serta Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan dengan yuran serendah RM200 setiap semester,” katanya.

Beliau berkata untuk pelajar B40 mereka turut dibantu sebanyak RM2,400 setiap semester dan boleh menyambung ke peringkat diploma di politeknik, seterusnya ijazah sarjana muda di rangkaian universiti teknikal Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan