EKONOMI

Amir Hamzah Ketuai Delegasi Ke Mesyuarat Bersama Pelabur Di New York

15/04/2024 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat bersama pelabur di New York, Amerika Syarikat dari 14 April hingga 16 April, 2024.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata mesyuarat tersebut diadakan bersempena dengan kehadiran Amir Hamzah di Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa dan Kumpulan Bank Dunia 2024 di Washington DC, Amerika Syarikat dari 17 April sehingga 19 April, 2024.

“Pelabur menunjukkan minat yang tinggi untuk memahami asas dan potensi ekonomi Malaysia serta kemajuan melaksanakan agenda pembaharuan Ekonomi MADANI.

“Keyakinan pelabur lebih kukuh ekoran pembaharuan fiskal yang telah dilaksanakan kerajaan termasuk mengurangkan defisit, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta subsidi bersasar elektrik dan air,” kata beliau. 

Mesyuarat dan sesi dialog bersama pelabur kewangan dan pasaran modal itu diadakan untuk memberi penerangan mengenai kedudukan semasa ekonomi dan perancangan kerajaan bagi terus mengukuhkan kewangan negara serta memudah cara pelaburan.

Pertemuan bersama pelabur antarabangsa seperti pengurus dana dan bank pelaburan itu juga akan menjelaskan hala tuju pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI.

Pada 15 April, Amir Hamzah telah mengadakan sesi libat urus dengan para pelabur dan dalam sesi libat urus bersama pelabur yang dijadualkan di New York pada 16 April, 2024, beliau dijangka bertemu dengan seramai 50 pelabur global pelbagai bidang industri dan perniagaan Amerika Syarikat. 

Sesi libat urus ini adalah penting bagi memberi penjelasan mengenai perkembangan dasar-dasar utama kerajaan termasuk pembaharuan fiskal untuk memastikan kemampanan fiskal dan hutang negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan