EKONOMI

MAXIS LABUR RM813 JUTA BAGI TINGKATKAN RANGKAIAN DAN IT PADA 2023

17/04/2024 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 April  (Bernama) -- Maxis Bhd melabur sebanyak RM813 juta pada tahun kewangan 2023 yang bertujuan meningkatkan kapasiti rangkaian mudah alihnya, teknologi maklumat (IT), mengembangkan jejak gentian ke premisnya, dan menambah baik pendigitalan ke seluruh syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata pada penghujung 2023, Maxis mempunyai lebih 11,000 tapak LTE di Malaysia yang meliputi 95 peratus penduduk dan menghubungkan 181,000 premis tambahan dengan infrastruktur gentiannya.

Beliau berkata syarikat itu sentiasa mengutamakan pengalaman pelanggan kerana ia membezakan mereka dengan syarikat telekomunikasi lain dalam pasaran yang sangat kompetitif.

“Kami terus merekodkan skor promoter bersih yang tinggi sebanyak +68, terima kasih kepada pelanggan kami yang setia dan kepuasan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami,” katanya dalam laporan tahunan Maxis 2023.

Goh berkata Maxis telah menambah baik Aplikasi Maxis dan Hotlink bagi membolehkan ciri-ciri seperti meningkatkan pelan, membeli peranti, pas perayauan dan tambah nilai kredit yang boleh diselesaikan dengan hanya klik seminimum yang mungkin.

Ia juga akan menumpukan kepada interaksi pelanggan secara digital untuk memastikan perkhidmatan yang lebih pantas, lebih mudah diakses dan boleh dipercayai serta yakin Maxis akan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia.

Syarikat juga akan menumpukan kepada mengembangkan perniagaan terasnya iaitu mudah alih, gentian dan perusahaan sambil menyampaikan operasi dengan cemerlang.

“Matlamat jangka panjang kami ialah kekal kukuh pada pertumbuhan perniagaan yang mampan dan boleh dijangka.

“Walaupun persaingan semakin sengit dan landskap kawal selia yang sentiasa berubah, kami yakin ketangkasan dan tindak balas pantas kami membolehkan kami merebut peluang yang mungkin timbul hasil daripada perkembangan ini,” tambahnya.

Maxis mencatatkan penurunan dalam keuntungan bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 (TK2023) kepada RM993 juta daripada RM1.15 bilion pada TK2022.

Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM10.18 bilion daripada RM9.79 bilion tahun lalu, dengan jumlah hasil meningkat empat peratus manakala pendapatan perkhidmatan asas, tidak termasuk perkhidmatan suara borong dengan margin rendah yang ditamatkan pada suku keempat 2022 (S4 2022), meningkat 4.2 peratus dari tahun ke tahun.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan