SUKAN

FAM MAHU PERSATUAN, KELAB BELIA KREATIF LAHIRKAN PEMAIN BERKUALITI

17/04/2024 08:13 PM

PETALING JAYA, 17 April (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyarankan persatuan serta kelab belia lebih kreatif dalam membantu pembangunan dari peringkat akar umbi bagi memastikan negara tidak ketandusan pemain berkualiti untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM Mohd Firdaus Mohamed berkata negara tidak seharusnya terlalu bergantung kepada bakat di sekolah sukan atau Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam melahirkan bintang bola sepak.

“Pasukan perlu cari bukan setakat di sekolah tetapi cari di ceruk atau daerah sebab dulu pun kita pernah lahirkan pemain-pemain dari ceruk dan daerah. Kita dulu pernah lahirkan bakat dari ceruk daerah. 

“Kita terpaksa mengharapkan sekolah sukan dan AMD tetapi kita tahu dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini, kita tak nampak peningkatan di peringkat antarabangsa. Zaman dulu tiada AMD atau sekolah sukan pasukan kita boleh menang dengan Thailand pun menang juga,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran bola rasmi untuk kejohanan kendalian FAM di Wisma FAM di sini hari ini. 

Terdahulu, jenama antarabangsa terkenal dari Jerman iaitu Puma melalui Active Sports Centre kekal sebagai penaja bola perlawanan rasmi untuk empat pertandingan domestik anjuran FAM bagi musim kedua berturut-turut.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan