AM

KERAJAAN NEGERI PERAK BANTU PELAJAR BAWA PULANG KITAB TURATH

17/04/2024 11:51 PM

IPOH, 17 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak sedia membantu dalam mengurus dan membawa pulang 200 kitab turath atau kitab tradisi ilmu Islam tulisan ulama Nusantara yang dikumpul oleh Muhammad Nur Hadi Sallehuddin, 24, pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar Mesir.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri menghargai jasa pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) itu yang bersungguh-sungguh mengumpulkan khazanah berharga tersebut. 

"Saya tahu ia melibatkan perbelanjaan dan dia sendiri telah mengeluarkan duit poket sebanyak RM20,000 dan proses membawa pulang kitab-kitab itu juga akan memakan kos. 

"Kita akan bincang dengan MAIPk tentang apa yang kerajaan negeri boleh bantu," katanya pada sidang media di sini hari ini selepas melancarkan Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Beliau berkata usaha yang dilakukan pelajar itu bukanlah sesuatu yang mudah dan sebarang bentuk penghargaan atau pengiktirafan boleh menjadi galakan serta motivasi kepada orang lain untuk melakukan perkara sama.

Muhammad Nur Hadi adalah penuntut tahun akhir Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin pengkhususan Pengajian Hadis telah membelanjakan hampir RM20,000 wang simpanannya bagi mendapatkan kitab terbabit. 

Anak ketiga daripada lapan beradik yang berasal dari Padang Rengas itu mula mengumpul karya turath tulisan ulama Nusantara sejak 2020.

Mengulas mengenai pelancaran Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa Perak 2024 pula, Saarani berkata inisiatif itu adalah bagi meringankan beban kewangan mahasiswa daripada keluarga kurang berkemampuan dan yang berdepan situasi di luar jangkaan.

Beliau juga berkata kerajaan negeri telah memperuntuk RM2 juta bagi tujuan itu dan terbuka kepada semua mahasiswa kelahiran Perak yang layak melalui permohonan secara dalam talian di pautan www.eheyns.com.my. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan