AM

JUALAN AGRO MADANI TERUS DAPAT SAMBUTAN

18/04/2024 07:22 PM

YAN, 18 April (Bernama) -- Program Jualan Agro MADANI di Pasar Tani Kekal Guar Chempedak di sini, terus mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung yang datang untuk membeli barangan keperluan harian pada harga lebih murah.

Rata-rata yang ditemui teruja dan mahu program itu diteruskan demi membantu rakyat terutama golongan B40 menerusi penawaran penjimatan 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

Sabri Said, 35, berkata dia datang sejak 8.30 pagi bagi mendapatkan kupon pembelian sebanyak RM2 hingga RM3 daripada pihak penganjur bagi membeli barangan runcit dan barangan basah.

“Semua murah-murah, saya beli daging sekilogram pada harga RM35 sahaja selepas ditolak kupon diskaun sebanyak RM3 dan ayam pada harga 7.90 sekilogram selepas ditolak diskaun RM2, rasa bertuah dapat tahu ada program jualan murah ini.

“Saya beli banyak jugalah untuk buat stok terutama pembelian set kombo iaitu sebungkus bihun, telur 10 biji, ubi kentang, bawang dan minyak masak sekampit sekilogram hanya pada harga RM10 berbanding RM15 harga biasa, sangat berbaloi beli kat sini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Suri rumah, Hafizoh Kasim, 50, berkata dia membeli daging di sini kerana lebih murah.

“Saya buat ketupat dengan rendang sebab raya pun tak habis lagi… Bila tau ada program ni saya terus mai beli daging. Dia jual RM38 sekilo, bila dapat kupon dapatlah jimat RM3 untuk sekilo daging.

“Saya juga beli set kombo terdiri beras pulut sekilogram, serbuk kari sepeket dan santan sekotak pada harga RM10 saja berbanding RM15 di luar,” katanya yang turut menerima tempahan ketupat palas kecil-kecilan di rumahnya di Ulu Sedaka, di sini.  

Jualan Agro MADANI ialah program jualan terus tanpa melalui orang tengah yang membolehkan pengguna menikmati harga 10 hingga 30 peratus lebih murah, namun petani dan peniaga masih dapat meraih keuntungan.

Untuk rekod, program berkonsepkan jualan dari ladang ini dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Lembaga Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan