AM

LETUPAN BATU: PIC AKAN TAMBAH BAIK TAHAP KESELAMATAN, KETUA MENTERI MOHON MAAF

18/04/2024 03:27 PM

GEORGE TOWN, 18 April (Bernama) -- Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd akan mengurangkan kedalaman gerudi dan berat bahan letupan bagi mengawal kekuatan kesan letupan di lokasi CH1875, skop kerja utama bagi projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Farizan Darus berkata langkah itu antara tindakan penambahbaikan yang akan diambil kontraktor bagi mengelakkan kerja peletupan batu menyebabkan kerosakan di kawasan kondominium Jay Series, Island Park di sini, berulang.

"Selain itu memastikan pelindung keselamatan iaitu lapisan penutup tanah, jejaring besi dan geotekstil serta guni pasir yang meliputi kawasan yang lebih besar dan menyeluruh daripada 1.8 meter (m) kepada 2.4m dari lubang letupan untuk menampung kemungkinan masalah rongga batu dan keadaan luar jangka.

“Pihak kontraktor juga akan menambahkan beban tanah di atas dan sisi dengan tambahan plat keluli dan blok ‘kentledge’ sebagai pelindung keselamatan tambahan bagi mengurangkan impak letupan,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri di bangunan Komtar hari ini.

Semalam, media melaporkan dua kondominium di Island Park yang terletak berhampiran tapak pembinaan projek jalan pintasan Ayer Itam mengalami kerosakan akibat terkena serpihan batu dan tanah yang terpelanting dari lokasi peletupan batu.

Farizan menjelaskan terdapat kerosakan melibatkan kawasan kondominium Jay Series berpunca daripada bongkah tanah yang berterbangan kesan daripada kerja-kerja peletupan batu terkawal yang dijalankan di kawasan cerun projek di lokasi CH1875, semalam.

Beliau berkata kerja letupan batu kali ke-600 itu merupakan antara skop kerja utama bagi projek berkenaan dan masih terdapat 200 letupan akan dibuat.

Kerja itu katanya dijalankan mengikut prosedur ditetapkan dan pada kebiasaannya tiada kejadian batu dan tanah berterbangan dalam kuantiti yang besar serta melibatkan jarak yang jauh iaitu sekitar 100m dari lokasi peletupan.

"Terdapat beberapa penemuan berdasarkan kesan yang diperolehi di tempat kejadian antaranya terdapat bongkah batu yang mempunyai garisan sesar (fault line). 

Curahan hujan lebat yang berlaku pada malam sebelum kejadian menyebabkan keadaan tanah berubah menjadi butiran bongkah tanah, seterusnya menyumbang kepada kerosakan kepada fasiliti termasuk kereta penghuni kondominium tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow memohon maaf kepada para penduduk yang terkesan akibat kerja letupan tersebut dan mengarahkan pihak kontraktor untuk bertanggungjawab memulihkan semua kerosakan.

Beliau berharap agar pasukan projek akan mempertingkatkan ahap keselamatan dan langkah-langkah khususnya ketika kerja letupan batu bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang.

Projek tersebut merupakan satu daripada projek di bawah Komponen Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga (PMRT) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang telah bermula sejak 2021 bagi Seksyen 1 dan tahun 2022 bagi Seksyen 2 hingga Seksyen 6. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan