EKONOMI

UNIVERSAL SERVICED OFFICES BERKEMBANG DENGAN FASILITI KETIGA DI LABUAN

18/04/2024 03:49 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 18 April (Bernama) -- Penyedia kemudahan perkhidmatan pejabat yang terkemuka di Labuan, Universal Serviced Offices (USO) and Management Ltd telah membuka fasiliti terbaharunya di pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia (IBFC) Labuan.

Fasiliti ketiganya itu, terletak di Aras 13 (C), Blok 4 Financial Park Labuan telah dirasmikan oleh Pengerusi Persatuan Syarikat Amanah Labuan Datuk Chin Chee Kee. 

Chin menyatakan keyakinannya terhadap komitmen USO untuk menyokong pertumbuhan industri kewangan dengan menyampaikan perkhidmatan ruang pejabat dan pengurusan bertaraf dunia.

“Syarikat seperti USO memainkan peranan penting dalam memudahkan penubuhan pelbagai perniagaan.

"Kerjasama mereka dengan pihak berkepentingan industri telah memastikan asas yang mantap untuk perniagaan di Labuan, menguntungkan ekonomi tempatan dan rakyatnya," kata Chin semasa pelancaran hari ini. 

Sambil menyerlahkan kepentingan kemudahan baharu itu, Chin menekankan peranannya dalam membantu banyak syarikat yang berpangkalan di Labuan dalam memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) seperti yang dikuatkuasakan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA). 

Beliau berkata pematuhan kepada keperluan ini memerlukan penubuhan pejabat fizikal dengan pekerja sepenuh masa, ini telah memacu permintaan untuk ruang pejabat di Labuan IBFC.

Labuan IBFC kini menjadi tuan rumah kepada lebih 5,000 syarikat aktif termasuk institusi kewangan terkemuka seperti bank, syarikat insurans, syarikat amanah, firma pemajakan dan peniaga komoditi. 

Chin memberitahu penyedia fasilliti pejabat seperti USO peranan penting dalam menyokong penubuhan serta pertumbuhan syarikat berdaftar, sekali gus merangsang ekonomi tempatan.

Pengurus Wilayah USO, Imelda Thadeus fasiliti baharu itu menyediakan kemudahan seperti stesen kerja yang moden, pejabat yang disesuaikan sepenuhnya selain kemudahan seperti akses Internet berkelajuan tinggi dan ruang istirahat perniagaan kontemporari.

“Tambahan yang perlu diberi perhatian kepada fasiliti terkini ialah sudut USO Elite, yang menawarkan pejabat dengan pemandangan panoramik lautan dan koridor kesihatan,” katanya.

Pusat perniagaan baharu itu, dengan keluasan kasar 5,508 kaki persegi, meningkatkan kapasiti USO untuk menampung keperluan komuniti perniagaan Labuan yang semakin berkembang. 

Imelda mengulangi komitmen USO dalam menyokong perniagaan tempatan dengan mengutamakan penyumberan barangan dan perkhidmatan daripada komuniti Labuan.

“Etos perniagaan kami berkisar pada memenuhi keperluan pelanggan serta memulangkan kembali kepada masyarakat. Labuan telah menyediakan kami dengan persekitaran perniagaan yang sangat baik dan menjadi satu keutamaan untuk kami menyumbang kepada pertumbuhan serta kemakmurannya,” kata Imelda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan