EKONOMI

SIN-KUNG LOGISTICS YANG BAKAL DISENARAIKAN DI PASARAN ACE JANGKA RAIH RM26 JUTA DARIPADA IPO

18/04/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan logistik bersepadu Sin-Kung Logistics Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 Mei depan menjangka mengumpul RM26 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO).

Pengarah Urusannya Alan Ong berkata syarikat itu merancang menggunakan RM10 juta daripada hasil IPO untuk membiayai pengembangan perkhidmatan pergudangan dan pengedarannya bagi menampung permintaan yang dijangka semakin meningkat daripada sektor pembuatan dan e-dagang pada masa depan.

“Kami telahpun bersiap sedia untuk perancangan masa depan dengan pengambilalihan pejabat dan gudang Valdor yang akan menambah kapasiti tahunan sebanyak 192,000 palet bagi memenuhi keperluan pelanggan kami di wilayah utara Semenanjung Malaysia apabila operasi bermula pada akhir 2026.

“Gudang Valdor itu yang dibina mengikut kesesuaian, akan menyediakan lebih banyak ruang penyimpanan bagi menambah kepada lima gudang sedia ada kami untuk menampung pesanan yang lebih banyak daripada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan kami.

“Ia seterusnya bakal meningkatkan lagi pendapatan perkhidmatan pergudangan dan pengedaran kami pada masa depan,” katanya semasa majlis pelancaran prospektus syarikat itu, di sini, hari ini.

Ong berkata setakat 20 Mac, 2024, Sin-Kung Logistics mengendalikan lima gudang di Shah Alam dan Pelabuhan Klang di Selangor, Bukit Mertajam dan Bukit Minyak di Pulau Pinang dengan agregat kapasiti tahunan sebanyak 190,260 palet.

Sebanyak RM2.0 juta lagi daripada hasil itu akan digunakan untuk membeli 100 kenderaan perdagangan menjelang 2025 sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mengembangkan perniagaan trak dan pengangkutan kontenanya.

“Kos pembelian 100 kenderaan perdagangan itu dianggarkan bernilai RM8 juta. Kami berhasrat memperuntukkan RM2 juta daripada hasil untuk membeli kenderaan perdagangan dan baki RM6 juta akan dibiayai daripada dana dijana dalaman dan/atau pinjaman bank,” kata syarikat itu dalam prospektusnya.

Sementara itu, baki daripada hasil itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank berjumlah RM9.6 juta, modal kerja (RM1.1 juta) dan membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian sebanyak RM3.3 juta.

Menerusi penyenaraian itu, Sin-Kung Logistics menerbitkan 200 juta saham baharu dan menawarkan jualan 103.5 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 16.7 peratus dan 8.6 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan Sin-Kung Logistics, pada harga terbitan 13 sen sesaham.

Daripada 200 juta saham baharu itu, 60 juta akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui undian saham, 45 juta saham kepada pengarah, pekerja dan orang yang layak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan Sin-Kung Logistics, manakala baki 95 juta adalah untuk tawaran saham persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan,  Perdagangan dan Industri (MITI).

Bagi tawaran jualan, 55 juta saham dikhaskan untuk tawaran saham persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI, manakala baki 48.5 juta saham akan diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 1.2 bilion saham, Sin-Kung Logistics dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM156.0 juta selepas penyenaraian.

IPO itu dibuka untuk langganan bermula hari ini sehingga 2 Mei 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan