KUCHING, 18 April (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menghadiri Forum Teknologi Hidrogen Eropah Tengah dan Forum Dekarbonisasi Eropah Tengah yang dijadual berlangsung di Poznan, Poland dari 24 hingga 25 April.
Menurut kenyataan pejabat Premier Sarawak, Abang Johari akan berucap sebagai ahli panel forum semasa sesi bertajuk Debate Regions for the Planet yang akan berlangsung pada pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari waktu tempatan pada 24 April.
"Seperti Premier katakan sebelum ini, beliau akan berucap mengenai perspektif Sarawak dan pengalamannya ke arah peralihan tenaga, keselamatan tenaga boleh diperbaharui, penyahkarbonan dan kelestarian alam sekitar," menurut kenyataan itu.
Turut mengiringi Abang Johari ialah Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abang Hipni.
Abang Johari akan berada selama tiga hari di United Kingdom, dan pada Ahad beliau akan melawat Loji Janakuasa Drax di Selby, North Yorkshire yang menyediakan 11 peratus daripada keperluan tenaga boleh diperbaharui UK dengan menggunakan biojisim dalam bentuk pelet dengan kapasiti penjanaan 3,960 megawatt.
"Keesokannya, Primier Sarawak akan menyaksikan pemeteraian dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Semikonduktor SMD Sarawak dan Semikonduktor Kompaun Catapult Aplikasi di Dewan Rakyat, Parlimen UK di London.
“Menerusi MOU itu, Sarawak berusaha untuk menjalin kerjasama dengan rakan kongsi di UK untuk memacu inovasi yang akan membentuk semula keupayaan dan aplikasi semikonduktor kompaun yang diperbuat daripada dua atau lebih elemen berbanding silikon yang diperbuat daripada satu elemen," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial