EKONOMI

Bursa Carbon Exchange Akan Tawar Sijil Tenaga Boleh Baharu

18/04/2024 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia Bhd, Bursa Carbon Exchange (BCX) bersedia untuk menjadi hos bagi lelongan Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) pertamanya yang dijadualkan pada 25 Jun, 2024.

Dalam kenyataan pada Khamis, pengawal selia itu menjelaskan lelongan tersebut merupakan satu langkah penting ke arah peralihan BCX menjadi pusat sehenti, patuh syariah dan bursa produk pelbagai alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata memandangkan kemampanan menjadi keperluan intrinsik untuk Malaysia kekal relevan dan boleh labur sebagai sebuah negara, pihaknya akan terus melaksanakan peranan penting dalam membolehkan pelaksanaan dasar dan projek utama negara melalui pasaran modal.

“REC akan menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menyasar untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu negara dengan ketara,” katanya.

Mengulas mengenai kepentingan BCX, beliau berkata dalam beberapa bulan selepas memulakan perdagangan karbon, Bursa Malaysia dengan pantas memperluas tawaran BCX dengan memperkenalkan satu lagi produk pelengkap iaitu Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC).

“Kedua-dua produk alam sekitar ini akan menyediakan pilihan kepada korporat Malaysia apabila memperuntukkan modal untuk pembiayaan tindakan iklim,” katanya.

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa REC ialah tawaran produk baharu oleh BCX yang memulakan dagangan kredit karbon pada September 2023.

Ia akan dikeluarkan di bawah I-REC Standard Foundation - badan standard yang diiktiraf di peringkat global, terkenal dengan sistem penjejakan atribut alam sekitar yang kukuh.

Bagi lelongan itu, Sarawak Energy Bhd akan membekalkan REC daripada loji jana kuasa hidro Murum.

Hal itu adalah sebahagian daripada memorandum kerjasama yang telah ditandatangani Bursa Malaysia dengan Sarawak Energy bersama Pakatan Kemampanan Kuasa Hidro dan I-REC Standard Foundation semasa Persidangan Pihak-Pihak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-28 pada Disember 2023.

Taklimat mengenai lelongan REC sulung itu akan diadakan pada 23 April, 2024 dan platform BCX akan bersedia untuk dagangan berterusan, termasuk memudahkan transaksi luar pasaran untuk REC pada akhir September 2024, tambah Bursa Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan