EKONOMI

JUMLAH PREMIUM PERNIAGAAN BAHARU MENINGKAT 11.6 PERATUS PADA 2023 - LIAM

19/04/2024 10:18 AM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Industri insurans hayat mencatatkan pertumbuhan dua angka iaitu 11.6 peratus kepada RM13.4 bilion dari segi jumlah premium perniagaan baharu pada tahun lepas berbanding RM12 bilion pada 2022.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) menjelaskan pertumbuhan itu dipacu oleh prestasi kukuh polisi kumpulan dan polisi berkaitan pelaburan yang masing-masing meningkat 14.5 peratus kepada RM5.1 bilion dan 13.6 peratus kepada RM6.2 bilion.

Jumlah keseluruhan diinsuranskan perniagaan baharu mencatatkan peningkatan 9.4 peratus kepada RM544.4 bilion pada 2023 daripada RM497.7 billon pada tahun sebelumnya, menurut persatuan itu dalam kenyataan pada Khamis.

Jumlah diinsuranskan polisi berkaitan pelaburan perniagaan baharu dan jumlah diinsuranskan polisi kumpulan perniagaan baharu masing-masing merekodkan pertumbuhan dua digit iaitu 13.4 peratus kepada RM155.8 bilion dan 10.3 peratus kepada RM368.8 bilion pada 2023, tambah LIAM.

“Sementara itu, bilangan polisi berkaitan pelaburan baharu meningkat 6.8 peratus kepada 709,378 dan polisi kumpulan baharu menokok 5.8 peratus kepada 21,975 tahun lepas.

“Walau bagaimanapun, polisi tradisional baharu merosot 56.9 peratus daripada 1.2 juta pada 2022 kepada 496,115 pada 2023, menyebabkan bilangan keseluruhan polisi susut 33.2 peratus kepada 1.2 juta pada 2023 berbanding 1.8 juta pada 2022,” menurutnya.

LIAM memaklumkan premium keseluruhan yang berkuat kuasa meningkat 5.0 peratus kepada RM46.3 bilion pada 2023 berbanding RM44.1 bilion pada 2022.

Persatuan itu juga menekankan bahawa bilangan polisi yang berkuat kuasa bagi polisi kumpulan dan polisi berkaitan pelaburan masing-masing naik 4.5 peratus kepada 28,685 dan 4.0 peratus kepada 6.7 juta pada 2023.

Walau bagaimanapun, polisi tradisional berkurang 9.7 peratus yang menyumbang kepada penurunan 3.1 peratus jumlah polisi yang berkuat kuasa kepada 13 juta pada 2023 berbanding 13.4 juta pada 2022, disebabkan tamat tempoh polisi yang dikeluarkan di bawah Skim Perlindungan Tenang pada 2022.

Mengenai tuntutan, LIAM menjelaskan jumlah pembayaran melonjak 14.9 peratus kepada RM15.4 bilion tahun lepas berbanding RM13.4 bilion pada 2022, dipacu terutama oleh lonjakan pembayaran hilang upaya sebanyak 41.4 peratus dan 26.2 peratus pula adalah tuntutan perubatan.

Peningkatan ketara pembayaran tuntutan juga disebabkan oleh kadar inflasi perubatan yang tinggi di Malaysia dan tuntutan perubatan yang lebih tinggi itu dijangka menambah tekanan ke atas kenaikan premium pada masa hadapan, tambahnya.

Mengenai prospek, LIAM menegaskan bahawa industri itu bersedia untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dan daya tahan dalam keadaan dinamik pasaran yang berkembang.

“Pelbagai usaha yang ditetapkan mengikut Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 sedang dilaksanakan untuk mengukuhkan dan melonjakkan pembangunan ke tahap yang lebih tinggi, untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna,” menurutnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan