AM

MOSTI SASAR MUDAHKAN PENUBUHAN 900 PEMULA NIAGA AI MENJELANG 2026 - CHANG

18/04/2024 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan untuk memudahkan penubuhan sehingga 900 pemula niaga kecerdasan buatan (AI) menjelang 2026 melalui program perintis A.I Sandbox 2024.

Menterinya Chang Lih Kang berkata dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kerajaan menjangka melahirkan lebih 13,000 bakat baharu AI menjelang 2026, sekali gus menghasilkan tenaga kerja mahir yang berupaya menangani cabaran masa depan.

“Inisiatif ini berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi sehingga 10 peratus melalui penciptaan industri baharu, peluang pekerjaan dan peningkatan daya saing dalam pasaran global.

"Ini bukti komitmen kami untuk memacu inovasi di arena antarabangsa, sejajar dengan matlamat nasional kami menyokong 100 syarikat AI untuk menjana pendapatan RM1 bilion menjelang 2030," katanya.

Chang berkata demikian dalam ucapan perasmian sebelum melancarkan program perintis A.I Sandbox 2024 antara Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan sebuah syarikat teknologi, NVIDIA di MRANTI Park di Bukit Jalil di sini hari ini.

Chang berkata kerjasama antara MRANTI dan NVIDIA bakal menyediakan peluang ekonomi baharu, merangsang keusahawanan, menarik pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam industri baharu di negara ini yang dipacu oleh AI. 

Selain itu, beliau berkata penglibatan NVIDIA menawarkan platform penting untuk penyedia teknologi AI menguji kaedah penyelesaian mereka dalam dunia sebenar.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu, Zambry berkata melalui inisiatif seperti "Deep Learning Ambassador Programmes" dan kursus "Deep Learning Institute" yang disediakan dengan kerjasama NVIDIA, kerajaan telah menyediakan  platform untuk menyediakan lonjakan besar dalam pendidikan dan aplikasi AI.

Beliau berkata KPT juga bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia untuk projek perintis membangunkan Fakulti Kecerdasan Buatan yang pertama di Malaysia.

"Mulai Oktober tahun ini, kohort sulung program Ijazah Sarjana Muda AI akan memulakan pengajian mereka, menumpukan kepada kurikulum yang dibangunkan dengan input daripada pakar AI terkemuka," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan