JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DITAHAN BERSAMA LORI DIUBAH SUAI UNTUK SELEWENG DIESEL

19/04/2024 05:22 PM

KUANTAN, 19 April (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan bersama lori yang diubah suai untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi di sebuah lombong di Muadzam Shah, Rompin menerusi Op Tiris 3.0 Rabu lepas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang Jezlily Jamaluddin berkata lelaki berumur 45 tahun itu ditahan ketika sedang membuat pemindahan minyak dari lori dipandunya ke sebuah tangki skid di lombong berkenaan.

Beliau berkata tangkapan lelaki itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan dan bertindak melakukan risikan serta mendapati lori terbabit telah mengisi minyak sebanyak empat kali di tiga stesen minyak di sepanjang jalan di Pekan.

“Anggota penguat kuasa kemudiannya telah bertindak mengekori lori berkenaan sehingga lombong terbabit dan menahan lelaki itu selain merampas beberapa barangan.

“Individu berkenaan didapati menggunakan lori yang diubah suai dan boleh mengisi kira-kira 3,000 liter diesel yang diseleweng,” katanya pada sidang media di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata antara barangan dirampas ialah minyak diesel pada tangki tambahan lori sebanyak 2,400 liter, minyak diesel di dalam tangki skid 224 liter, lori tiga tan bersama tangki tambahan yang diubah suai dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih RM75,000.

Mengulas lanjut, Jezlily berkata dua kertas siasatan telah dibuka iaitu kepada lelaki berkenaan dan pemilik tangki skid yang disita kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah akan melakukan kesalahan dan tidak memiliki permit menyimpan barang kawalan petroleum. 

Sementara itu, beliau memaklumkan sepanjang perlaksanaan Op Tiris 3.0 bermula 1 Jan hingga 17 April, KPDN Pahang telah merekodkan 25 kes berkaitan penyelewengan barangan kawalan bersubsidi dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM806,000. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan