JENAYAH & MAHKAMAH

PROSIDING INKUIRI KENAL PASTI IDENTITI PAIMAN SHAKIMON BERMULA 18 SEPT

19/04/2024 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini menetapkan enam hari bermula 18 Sept ini untuk prosiding inkuiri bagi menentukan sama ada lelaki yang dihukum penjara 13 tahun kerana menipu dan memalsukan dokumen adalah ahli perniagaan Datuk Paiman Shakimon.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan bahawa semua pihak bersetuju meneruskan proses inkuiri.

“Mahkamah menetapkan tarikh inkuiri pada 18 hingga 20 Sept, 26 dan 27 Sept serta 30 Sept pada 9 pagi. Selain itu, dokumen berkaitan kes perlu diserahkan kepada pihak-pihak terlibat sebelum prosiding inkuiri,” katanya semasa sebutan kes itu hari ini.

Mohd Ashrof Adrin turut memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil antara 10 hingga 15 saksi, bergantung kepada hasil siasatan.

Peguam Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, yang mewakili Aldrin Pratama Widjaja (didakwa oleh pendakwaan sebagai Paiman) ketika mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya akan memanggil seorang saksi.

Pada 2 Dis 2021, Mahkamah Tinggi memerintahkan Paiman yang menghilangkan diri selama sembilan tahun menjalani hukuman penjara 13 tahun bagi kesalahan menipu dan memalsukan dokumen selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Paiman sebelum ini merayu terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terhadapnya pada 2011 selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan menipu serta memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta.

Bagaimanapun, ketika rayuannya ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi, beliau telah menghilangkan diri dan pada 20 Julai 2012, mahkamah mengeluarkan waran tangkap manakala waran pemenjaraan terhadapnya dikeluarkan pada 11 Okt tahun sama kerana gagal hadir pada prosiding rayuan.

Paiman, 65, berjaya diberkas oleh pihak polis selepas didapati masuk ke Malaysia menggunakan pasport Indonesia dengan nama Aldrin Pratama Widjaja dan hasil semakan menggunakan sistem biometrik cap jarinya di Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan beliau adalah Paiman bin Shakimon.

Bagaimanapun, Aldrin Pratama Widjaja sehingga kini menafikan beliau adalah Paiman dan pada 2023, lelaki itu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap waran tangkap serta waran pemenjaraan yang dikeluarkan terhadapnya.

Mahkamah Rayuan memerintahkan Mahkamah Tinggi menjalankan inkuiri bagi mengenal pasti identiti lelaki itu.

Paiman dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua Datuk lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006. 

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan