JENAYAH & MAHKAMAH

RASUAH: HUKUMAN PENJARA BEKAS KETUA BALAI POLIS DIGANTI DENGAN DENDA RM10,000

19/04/2024 07:03 PM

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengetepikan hukuman penjara dua bulan yang dijatuhkan ke atas bekas ketua balai polis bagi kesalahan menerima rasuah dan menggantikannya dengan denda RM10,000.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin serta Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohamed Azli Adam.

Mahkamah bagaimanapun menolak rayuan beliau untuk mengetepikan sabitan bagi kesalahan menerima suapan wang tunai RM300 daripada seorang individu berusia 43 tahun di sebuah balai polis pada 14 Mac 2016.

Ahmad Zaidi juga berkata jika Mohamed Azli, 60, gagal membayar denda itu, beliau perlu menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Mahkamah memberi tempoh hingga Isnin ini untuk Mohamed Azli membayar denda itu.

Pada Mei 2022, Mahkamah Sesyen Shah Alam telah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM5,000 terhadap Mohamed Azli selepas beliau didapati bersalah.

Rayuannya telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Feb tahun lepas. 

Mohamed Azli dibebaskan dengan jaminan RM6,000 sementara menunggu rayuan.

Terdahulu, peguam Wan Shahrizal Wan Ladin meminta mahkamah mengetepikan hukuman penjara atas alasan anak guamnya telah berkhidmat hampir 33 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (pada 2022) dan mempunyai tempoh dua tahun lagi sebelum bersara wajib.

Beliau juga memohon supaya anak guamnya diberi tempoh hingga Isnin untuk membayar denda kerana tidak cukup masa untuk menyelesaikannya hari ini namun dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Mohd Jaafar.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan