MELAKA, 20 April (Bernama) -- Majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan sepanjang Syawal di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat mampu merancakkan lagi promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dalam menggamit kedatangan pelancong ke negeri ini.
Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata menerusi kemeriahan sambutan perayaan itu ia juga dapat mengetengahkan keistimewaan dan keunikan budaya termasuk juadah tradisi masyarakat Melayu.
"Sempena TMM2024 ini kita mengambil pelbagai inisiatif mengadakan pelbagai program termasuk rumah terbuka, seperti penganjuran majlis di DUN Telok Mas iaitu kawasan diwakili saya sendiri.
"Kita dapat lihat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum bukan sahaja dari kawasan setempat malah dari luar Melaka yang turut meraikan sama majlis ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka DUN Telok Mas di Padang Taman Seri Telok Mas di sini lewat malam tadi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta kepimpinan negeri.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pada majlis rumah terbuka yang diadakan di Padang Taman Seri Telok Mas itu, ia menarik sehingga 12,000 pengunjung selain pelbagai menu turut disediakan.
Beliau berkata bagi menjayakan penganjuran majlis rumah terbuka itu, pelbagai promosi dilakukan termasuk hebahan secara bergerak bagi menarik orang ramai hadir termasuk menguar-uarkannya menerusi media sosial.
"Kita percaya usaha mengadakan program seumpama ini dapat mengalakkan kunjungan pelancong sekali gus sasaran 15 hingga 18 juta pelancong tahun ini sempena TMM tercapai," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial