EKONOMI

Mof Dapatkan Pandangan Industri Logistik Mengenai Skop & Syarat Subsidi Diesel Bersasar

20/04/2024 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican telah mengadakan perbincangan bersama industri logistik mengenai pelaksanaan program subsidi bersasar bagi diesel pada Jumaat.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), perbincangan itu bertujuan mendapatkan pandangan persatuan dan syarikat logistik bagi cadangan program tersebut.

“Perbincangan ini adalah bagi mendapatkan pandangan persatuan dan syarikat logistik mengenai skop dan syarat bagi cadangan program ini, terutamanya bagi mendengar isu yang dihadapi serta langkah-langkah penambahbaikan,” menurut MOF dalam catatan di laman sosial rasmi Kementerian Kewangan pada Sabtu.

MOF menjelaskan seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024, kerajaan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan yang berterusan.

“Namun, bagi mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan,” tambah MOF.

Kementerian itu memaklumkan bahawa mekanisme rasionalisasi subsidi diesel akan dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

“Sebaik berjaya mendapat kelulusan di bawah Sistem MySubsidi Diesel KPDN, syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat (barangan) boleh mendapatkan ‘Fleet Card’ daripada syarikat minyak pilihan untuk pembelian diesel bersubsidi,” jelas MOF.

Menurut MOF, kerajaan akan dapat menyalurkan hasil negara kepada rakyat yang benar-benar memerlukan antaranya melalui Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah dan lain-lain bantuan dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan