AM

Kerajaan Madani Komited Noktahkan Kemiskinan Tegar Di Sabah - PM Anwar

20/04/2024 03:19 PM

KOTA KINABALU, 20 April (Bernama) -- Kerajaan MADANi komited untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah walaupun memahami situasi itu agak rumit untuk diselesaikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Perdana Menteri percaya hubungan erat kerajaan Persekutuan diketuai beliau dengan kerajaan Sabah yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mampu memainkan peranan penting dalam merealisasi hasrat tersebut.

Beliau berkata usaha juga perlu dilakukan termasuk membawa masuk lebih banyak pelaburan selain pelbagai inisiatif dilaksana bagi menarik lebih ramai pelancong ke Sabah sekali gus memacu ekonomi di negeri ini.

"Kita mahu pacu pertumbuhan, kita mahu pelaburan datang, hotel-hotel kita penuh dengan pelancong...kita punya tanggungjawab moral miskin tegar harus dinoktahkan di seluruh negara kita termasuk di Sabah sendiri,” katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Hajiji.

Anwar berkata miskin tegar di Sabah kini berjaya dikurangkan kepada kira-kira 11,000 ketua isi rumah dan beliau juga telah menggerakkan jentera kerajaan termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk menurunkan lagi jumlah itu dalam tempoh singkat.

"Terima kasih kepada Ketua Menteri (Hajiji) dan kerajaan negeri kerana jumlah itu dicapai dengan menyakinkan, saya percaya Insya-Allah dalam masa singkat ini kita dapat mengurangkan dan kalau mampu menoktahkan (miskin tegar),” katanya.

Beliau berkata kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak dan Pulau Pinang telah berjaya dinoktahkan, malah beliau percaya melalui langkah sama, kemiskinan tegar di Sabah akan turut dinoktahkan.

"Masalah (miskin tegar) di Sabah lebih rumit dengan kedatangan, pencerobohan dan penerobosan di kawasan sempadan, tetapi saya percaya dukungan penuh kerajaan negeri bawah sahabat saya saudara Hajiji dapat menyelesaikan masalah ini bersama dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Perdana Menteri berkata dalam usaha membangunkan Sabah dan negeri lain, usaha menjamin setiap projek untuk rakyat dapat dijalankan secara berkesan tidak boleh hanya dilakukan dari Putrajaya sebaliknya memerlukan maklumat, maklum balas dan pandangan daripada negeri sendiri.

"Kita kenal pasti masalah banjir, air, jalan berlubang, (Lebuh Raya) Pan Borneo, bekalan elektrik, kekurangan sekolah semua diluahkan dan kita ambil perhatin. Ini dia semangat kerajaan MADANI mendengar dan melaksanakan dengan sebaiknya,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan