KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Tumpuan kepada ikhtiar menoktahkan kemiskinan tegar dan isu dokumentasi rakyat antara tiga cadangan khusus diutarakan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
MPN PKR Sabah menerusi kenyataan hari ini memaklumkan mereka mencadangkan agar tumpuan diberikan kepada program pembasmian kemiskinan supaya ikhtiar menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu dapat dijayakan.
"Kami juga mencadangkan usaha memberikan dokumentasi kepada rakyat dapat dilakukan secara telus yang tentunya melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta agensi," menurut kenyataan itu.
Selain itu, mereka juga mencadangkan kerjasama politik lebih erat antara parti komponen perpaduan bagi persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang supaya keadaan kestabilan politik dapat dikekalkan.
MPN PKR Sabah memaklumkan pertemuan dengan Anwar yang juga Presiden PKR selama sejam itu, turut membincangkan pelbagai isu termasuk pembangunan negeri, keadaan semasa politik Sabah dan program merancakkan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.
“PKR Sabah komited untuk memastikan bahawa suara rakyat Sabah didengari dan tindakan segera yang efektif dapat diambil untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh warga negeri ini.
"PKR Sabah juga menyambut baik jaminan Presiden yang akan memastikan bahawa Sabah terus mendapat perhatian kerajaan Persekutuan untuk memastikan rakyat terus mendapat manfaat daripada nikmat pembangunan dan perpaduan," menurut kenyataan itu.
Pertemuan itu dihadiri kesemua barisan kepimpinan MPN PKR Sabah termasuk Pengerusinya Datuk Dr Sangkar Rasam, sayap Angkatan Muda dan Wanita Sabah selain turut dihadiri Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi.
Turut hadir ialah 26 Ketua Cabang PKR Sabah antaranya Ketua Cabang PKR Kota Belud Datuk Mustapha Sakmud merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial