AM

ATURAN KERJA FLEKSIBEL MAMPU TINGKAT PRODUKTIVITI PEKERJA

21/04/2024 01:30 PM

Oleh Aisha Hani Nor Azmir

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Aturan kerja fleksibel dilihat dapat meningkatkan produktiviti pekerja, dengan memberi golongan berkenaan autonomi yang lebih besar ke atas cara menggunakan masa kerja.

Aturan kerja fleksibel menawarkan ruang kebebasan buat golongan pekerja memohon kepada majikan untuk perubahan waktu bekerja, hari bekerja dan tempat kerja.

Ketua Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Nor Wahiza Abdul Wahat berkata aturan kerja fleksibel, merupakan pendekatan yang membolehkan pekerja menyesuaikan jadual kerja, mengikut keperluan dan kebolehan.

Beliau berkata antara kelebihan aturan kerja fleksibel ialah membolehkan pekerja menyesuaikan jadual kerja mereka dengan komitmen peribadi dan keperluan keluarga, seterusnya mengurangkan tekanan dan stres berkaitan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi.

“Pekerja yang menerima kebebasan untuk menetapkan jadual kerja mereka sendiri, berkemungkinan besar akan lebih bersemangat menyelesaikan tugas dengan cekap. Lantaran itu, ia akan menyumbang secara langsung kepada prestasi keseluruhan organisasi,” katanya kepada Bernama.

Nor Wahiza bagaimanapun berkata keberkesanan waktu kerja fleksibel bergantung kepada pengurusan yang berkesan dan komunikasi yang baik, antara majikan dan pekerja.

Beliau berkata pengurusan perlu bijak mengendalikan proses komunikasi secara maya dan mampu menyediakan sistem sokongan yang sesuai dan mencukupi, agar pekerja dapat berkolaborasi dengan berkesan dan menyelesaikan tugas dalam masa yang ditetapkan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani yang mempunyai pandangan yang sama berkata dengan perancangan, komunikasi dan penggunaan teknologi yang betul, pengaturan kerja yang fleksibel boleh dilaksanakan dengan jayanya di Malaysia, untuk meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan pekerja.

Beliau yang mengakui cabaran dalam tahap pelaksanaan seperti memastikan produktiviti, mengekalkan kerjasama pasukan, dan menangani keperluan industri tertentu seperti waktu perkhidmatan pelanggan berkata pelaksanaan waktu kerja fleksibel di Malaysia boleh dilakukan, selepas penyesuaian yang diadakan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan.

“Waktu pandemik telah menunjukkan bahawa kerja dari rumah boleh dilakukan dan berkesan untuk banyak pihak. Pekerja dan majikan telah menyesuaikan diri dengan peralatan kerjasama maya, menjadikan waktu kerja yang fleksibel lebih terurus.

“Industri tertentu seperti teknologi, kewangan dan perkhidmatan profesional lebih mudah disesuaikan dengan waktu kerja yang fleksibel, kerana sifat kerja mereka. Lain-lain, seperti pembuatan atau penjagaan kesihatan, mungkin menghadapi cabaran tetapi masih boleh mengguna pakai jadual yang diubah suai,” katanya.

Mohd Effendy berkata ramai pekerja kini lebih suka pengaturan kerja yang fleksibel selepas merasakan kelebihannya semasa pandemik, dan perkara ini boleh mendorong majikan untuk mengguna pakai dan mengekalkan waktu kerja yang lebih fleksibel.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Pekerja Kelab Semenanjung Malaysia (CEUPM)) Rudy Rusly pula berpendapat, hak prerogatif dalam aturan kerja fleksibel terletak kepada majikan dan ia bukan dalam bentuk mohon dan lulus sahaja.

Beliau berkata kementerian perlu sentiasa meneliti peruntukan undang-undang pekerja, dengan mengutamakan keperluan golongan itu dalam setiap pindaan dan peraturan kerja, selain mendalami keperluan sistem pekerjaan agar dinamik mengikut peredaran masa, serta tidak mengikut kepentingan perniagaan besar.

Pada Rabu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pekerja di Malaysia boleh memohon kepada majikan aturan kerja fleksibel berdasarkan masa, hari dan lokasi bekerja mengikut Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955.

Beliau berkata permohonan tersebut perlu diserahkan kepada majikan untuk diberikan maklum balas dalam tempoh 60 hari dan sekiranya ditolak, majikan harus memberikan alasannya.

Akta Kerja 1955 kali terakhir dipinda pada 2022, antara lain memasukkan bahagian baharu berkaitan Aturan Kerja Fleksibel (Bahagian XIIC), bertujuan memenuhi keperluan semasa bagi melaksanakan Aturan Kerja Fleksibel dalam keadaan yang diperlukan, seperti membendung penularan wabak COVID-19. 

Menurut Seksyen 60P (1) akta itu, pekerja berhak meminta daripada majikan mereka untuk pengaturan kerja fleksibel untuk mengubah waktu bekerja, hari bekerja atau perubahan tempat bekerja tertakluk kepada Bahagian XII atau apa-apa yang terkandung dalam kontrak perkhidmatan.

Menurut akta itu, permohonan untuk pengaturan kerja fleksibel di bawah 60Q (1), pekerja hendaklah membuat permohonan di bawah Seksyen 60P secara bertulis dan dalam bentuk atau cara yang ditentukan oleh Ketua Pengarah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan