AM

MTE 2024 AHLS IIAE BERLANGSUNG SECARA MAYA 7-9 OGOS

22/04/2024 10:20 AM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Susulan kejayaan memberangsangkan edisi sebelum ini, Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2024 Anugerah & Ekspo Inovasi Antarabangsa Penjagaan Kesihatan dan Sains Hayat Lanjutan (AHLS IIAE) sekali lagi diadakan tahun ini secara maya bermula 7 hingga 9 Ogos.

Dianjurkan oleh PROTEMP Exhibitions and Conference Sdn Bhd (PROTEMP), acara dalam talian itu menyediakan platform bagi pertembungan idea, pasaran untuk inovasi dan meraikan semangat kepintaran manusia yang berterusan dalam penjagaan kesihatan dan sains hayat. 

Edisi sebelum ini menyaksikan kehadiran 2,371 peserta dari 10 negara dan penganjuran 108 pameran inovatif.

PROTEMP dalam kenyataan memaklumkan kemuncak MTE 2024 AHLS IIAE pastinya ialah Anugerah Inovasi Antarabangsa dengan tarikh tutup penyertaan pada 10 Julai ini.

"Anugerah ini mengiktiraf dan meraikan minda terpintar dan penyelesaian paling inovatif dalam sektor penjagaan kesihatan dan sains hayat.

"Sama ada anda ialah syarikat pemula, institusi penyelidikan atau syarikat biasa, anugerah ini menawarkan peluang untuk mengetengahkan penyelesaian inovatif anda pada pentas antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Kategori merangkumi penemuan, inovasi dan pelaksanaan penyelesaian penjagaan kesihatan untuk pencegahan, rawatan dan pengurusan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, selain penyelesaian inovatif untuk sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik.

Ini termasuk inovasi COVID-19, penyakit, kesihatan digital dan penyelesaian mudah alih, pencegahan, rawatan, pengesanan dan diagnostik, bioteknologi dan sains hayat, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, pengurusan penjagaan kesihatan, nanoteknologi, kesihatan alam sekitar, reka bentuk dan pembuatan, pendidikan serta kerjasama inovatif.

Menurut PROTEMP, MTE 2024 AHLS IIAE juga menyediakan Pasaran Inovasi iaitu ruang pameran maya untuk perniagaan dan institusi mempamerkan inovasi terkini mereka, berhubung dengan rakan kongsi dan pelanggan yang berpotensi, serta berinteraksi dengan penonton global.

"Sambil kita mengira detik penganjuran MTE 2024 AHLS IIAE, kami menjemput inovator, pemikir dan pemimpin dalam komuniti penjagaan kesihatan dan sains hayat untuk menyertai kami dalam acara besar ini.

"Sama ada anda berhasrat untuk meraih pengiktirafan, menonjolkan penyelesaian inovatif anda atau berhubung dengan pemimpin industri global, inilah acara yang memberi peluang untuk anda memenuhi aspirasi," menurut kenyataan itu.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai AHLS IIAE tahun ini, kriteria kelayakan, cara memasuki, peraturan kemasukan dan garis panduan, boleh mengunjungi laman sesawang MTE di https://ahls.mte.org.my/. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan