POLITIK

PERSIDANGAN CAWANGAN UMNO BERMULA HARI INI, WADAH JUNJUNG PRINSIP PARTI - AHMAD ZAHID

22/04/2024 11:24 AM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Persidangan cawangan UMNO yang bermula hari ini perlu djadikan wadah untuk menyuntik nilai kebersamaan dan menjunjung prinsip kesetiaan terhadap perjuangan parti, kata Presiden UMNO Datuk Seri  Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menerusi catatan di Facebeook beliau mengingatkan ahli parti supaya mengambil ruang dan peluang melalui persidangan itu untuk berbincang mengenai sebarang isu dengan penuh rasional serta berhikmah.

“Semoga Allah SWT memberkati dan mempermudahkan segala urusan dalam melunaskan perjuangan demi memenuhi tuntutan agama, bangsa dan tanah air yang kita sama cintai ini.

“Kepada semua perwakilan cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri. Selamat bersidang! Inilah masanya untuk memperkukuh perpaduan, memperkasa kesatuan,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata cawangan yang aktif adalah nadi bagi meneruskan denyutan perjuangan UMNO di bahagian dan di peringkat kebangsaan, maka persidangan kali ini adalah platform menggarap strategi serta rancangan untuk memperkuat parti.

“Santunilah ahli dan dekatilah para pengundi agar mereka yakin bahawa agenda UMNO hanyalah untuk memastikan kestabilan politik negara dan menjamin kebajikan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai kekuatan dan rangkaian sehingga ke peringkat akar umbi.

“Persidangan di peringkat cawangan adalah bukti UMNO mempunyai struktur yang mantap melebar sehingga ke 191 Bahagian dari Perlis hinggalah ke Sabah,” katanya. 

Persidangan cawangan UMNO bermula hari ini hingga 2 Jun manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian berlangsung pada 21 Jun hingga 29 Julai diikuti Perhimpunan Agung UMNO 2024 dari 21 hingga 24 Ogos depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan