AM

Mqa Meterai Mou Dengan Ban-pt Indonesia, Perkukuh Kerjasama

22/04/2024 04:41 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) hari ini meterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi, Indonesia untuk mengukuhkan hubungan sedia ada serta meningkatkan kerjasama berfokus antara kedua-dua agensi.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran berkata MoU itu membolehkan pegawai dari kedua-dua agensi untuk saling bertukar input serta pandangan, melaksanakan inisiatif penandaarasan, berkongsi tatacara dan tanggungjawab berkaitan jaminan kualiti dengan lebih efektif.

"Dari segi pembangunan kapasiti, MoU ini bakal membuka peluang kepada pegawai dari kedua-dua agensi bagi mengikuti program pertukaran staf di agensi masing-masing dan seterusnya mengukuhkan kerjasama dalam aktiviti jaminan kualiti dan akreditasi pada masa akan datang.

"Kerjasama ini dijangka dapat mengukuhkan kedudukan MQA sebagai autoriti global dalam jaminan kualiti pendidikan tinggi yang mempunyai sistem jaminan kualiti yang diperakui di peringkat global," katanya kepada media di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mustapha Sakmud yang menyaksikan majlis itu dan melancarkan Sistem Akreditasi MQA dikenali sebagai 'Electronic MQA Accreditation System' atau e-MAS.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Dr Azlinda Azman; Pengerusi Majlis MQA Tan Sri Mohd Adib Abd Rahman; dan Direktur Dewan Eksekutif BAN-PT Prof Dr Ari Purbayanto.

Mengenai peluncuran e-MAS pula, Mohammad Shatar berkata sistem itu selari dengan agenda pendigitalan yang diuar-uarkan kerajaan serta Perancangan Strategik MQA 2021-2025 menerusi Teras Strategik 3 (Penyampaian Efektif Disokong Kemampanan Sumber).

Beliau berkata sistem baharu itu menggabungkan dan mengintegrasikan kesemua modul pengurusan berkaitan akreditasi untuk membina satu platform yang bersepadu dalam memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada pihak berkepentingan pendidikan tinggi negara.

"Antara kelebihan e-MAS ialah mentransformasi proses sedia ada kepada digital yang membolehkan permohonan akreditasi program dibuat 100 peratus dalam talian, boleh diakses 24 jam, proses akreditasi program dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, teratur dan secara masa nyata.

"Sistem ini telah melepasi fasa pengujian dan pelancaran sistem ini akan dimulakan dengan perintisan 10 institusi pendidikan tinggi (IPT) rakan sistem e-MAS bermula hari ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan